Jumaat, 5 Oktober 2018 | 10:45pm
RAMLAH Ram (tengah) bersama Ernie Zakri (kiri) dan Siti Sarah ketika menjayakan latihan menjelang malam kemuncak ABPBH 31 di PICC - Foto: Nurul Syazana Rose Razman
RAMLAH Ram (tengah) bersama Ernie Zakri (kiri) dan Siti Sarah ketika menjayakan latihan menjelang malam kemuncak ABPBH 31 di PICC - Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Persiapan malam kemuncak ABPBH 31 lancar

PUTRAJAYA: Debaran malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH 31) kian dirasai apabila artis dan pemuzik terbabit menjayakannya mula menjalani latihan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Bukan sekadar latihan membabitkan artis segmen persembahan, malah persiapan dari sudut teknikal, pencahayaan dan susun atur pemuzik dilakukan sebaiknya bagi melancarkan perjalanan acara berprestij itu, Ahad ini.

Petang tadi, antara artis yang hadir untuk menjayakan sesi latihan bersama pemuzik di bawah bimbingan Faizal Uzir atau Lok U adalah Ernie Zakri, Siti Sarah, Ramlah Ram, Syamel, Sufian Suhaimi, Masya Masyitah, Hafiz Suip dan Aizat Amdan.

Melihat persiapan dilakukan, Pengurus Hiburan Primeworks Studios, Muhamad Sufian Isa, berkata segala perancangan berjalan dengan baik.

Penerbit Eksekutif ABPBH 31, Nurul Huda Khalid (kanan) berbincang bersama barisan artis yang hadir (dari kiri) Syamel, Ernie Zakri, Ramlah Ram, Siti Sarah, Sufian Suhaimi, dan Masya Mashitah ketika membuat persiapan akhir menjelang malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Putrajaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Ketika ini kami lebih memberikan perhatian kepada aspek ‘sound check’ bersama pemuzik dan sistem pencahayaan. Dari segi persiapan pentas pula, kami tidak berdepan sebarang masalah dan sudah bersedia untuk memulakan acara.

"Saya juga berpuas hati melihat persediaan dari sudut teknikal yang dilakukan. Dengan saiz pentas yang lebih besar kali ini, ia pastinya akan membuatkan persembahan malam kemuncak lebih meriah dan gah.

"Tahun ini, kami memerlukan pentas yang luas dan besar kerana banyak persembahan menggunakan ramai penari, begitu juga dengan prop,” katanya kepada BH Online.

Menurut Sufian, persembahan tahun ini terarah kepada menaikkan ‘mood’ penonton bersama muzik lebih rancak.

“Tujuh persembahan sedemikian disediakan kerana kami tidak mahu momentum acara menjadi lemah.

"Cuma, ada beberapa lagu nostalgia dipersembahkan pada malam Ahad nanti dan kita harap, keseluruhan persembahan akan memberikan tenaga sepanjang tiga jam acara berlangsung," katanya.

Sementara itu, Lok U berkata, dari segi persiapan muzik, ia sudah hampir sepenuhnya dilakukan.

PENYANYI, Aizat Amdan (kiri) dan Hafiz Suip ketika hadir pada sesi latihan menjelang malam kemuncak ABPBH 31 di PICC. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman
PENYANYI, Aizat Amdan (kiri) dan Hafiz Suip ketika hadir pada sesi latihan menjelang malam kemuncak ABPBH 31 di PICC. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman

"Keseluruhan proses sudah hampir siap sepenuhnya dan bersedia untuk dipersembahkan. Kini kita berada pada peringkat akhir latihan bersama artis, sebelum sesi raptai penuh diadakan esok.

"Kami tidak berdepan masalah besar sepanjang latihan. Cuma ada sedikit penambahan dalam susunan muzik supaya ia kedengaran lebih besar untuk persembahan dalam dewan," katanya.

Dia turut memaklumkan pemuzik di bawahnya mengadakan latihan intensif bagi memastikan tiada sebarang kesilapan berlaku pada malam kemuncak.

"Kita tidak mahu ada sebarang kecacatan atau masalah teknikal berlaku pada malam kemuncak nanti. Jadi, kita sangat menitikberatkan setiap perkara, walaupun ia dianggap kecil dan remeh.

"Kita mahu melihat acara ini berjalan lancar dan tidak terganggu oleh masalah sistem bunyi yang boleh mencacatkan persembahan artis," katanya.

ABPBH 31 mempertaruhkan 13 kategori utama dan lima kategori online, dengan pemenang trofi Bintang Paling Popular bakal membawa pulang sebuah kereta.

Anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu diserikan oleh kosmetik Alha Alfa selaku penaja utama.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X