Rabu, 10 Oktober 2018 | 11:18am
PENYANYI, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat persembahan pada ABPBH 31 di PICC. - Foto Eizairi Shamsudin

ABPBH pentas Siti serlah kreativiti

PUTRAJAYA: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menyifatkan peluang menjayakan persembahan di pentas berprestij Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebagai ruang untuknya mencipta kreativiti.

Berikutan itu, beliau akan cuba memenuhi undangan membuat persembahan pada majlis kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu kerana di pentas berkenaanlah dirinya dapat memberikan kelainan kepada peminat.

"Sepanjang diundang menjayakan persembahan pada malam kemuncak ABPBH, diakui pelbagai konsep pernah Siti ketengahkan dan semua itu dilakukan semata-mata untuk menghiburkan penonton.

"Antara yang masih Siti ingat adalah ketika menyanyi bersama Allahyarham Datuk Sharifah Aini, dan persembahan dengan konsep K-pop serta ala Latin menerusi lagu Ku Mahu sewaktu menjayakan ABPBH di Genting Highlands, beberapa tahun lalu," katanya kepada BH Online.

PENYANYI, Siti Nurhaliza, tetap memberikan sokongan kepada penganjuran ABPBH walaupun tidak lagi bertanding pada anugerah itu. - Foto Mahzir Mat Isa

Pada malam kemuncak ABPBH 31 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Ahad lalu, Siti bergandingan dengan bintang malar segar, Ramlah Ram, dan penyanyi muda, Syamel, mendendangkan beberapa lagu joget.

Persembahan penutup tirai acara gilang-gemilang itu nyata mendapat pujian ramai, dengan sebahagiannya menghargai usaha penganjur memartabatkan irama tradisional.

Walaupun tidak lagi menghadiri acara anugerah berkenaan sebagai calon, Siti yang baru saja melancarkan single baharu berjudul Anta Permana berkata, beliau akan tetap menyokong ABPBH sama ada sebagai tetamu ataupun artis persembahan.

"Siti sendiri pernah berjanji untuk terus menyokong ABPBH kerana begitu banyak detik manis pernah Siti kecapi di pentas anugerah ini.

"Walaupun pada awalnya Siti bimbang andai tidak dapat memikul tanggungjawab untuk mengadakan persembahan kali ini, berikutan komitmen di Tokyo, Jepun, namun Siti usahakan juga.

"Alhamdulillah, dapat juga Siti tunaikan hasrat penganjur yang mahu Siti terbabit sama dalam acara tahun ini," katanya dalam nada teruja.

SITI Nurhaliza, Ramlah Ram dan Syamel mempersembahkan lagu joget pada malam kemuncak ABPBH 31 di PICC. - Foto Surianie Mohd Hanif

Sebelum itu, walaupun jadualnya sentiasa padat, penyanyi nombor satu negara ini tetap meluangkan masa memeriahkan acara #FANtastik ABPBH 31 yang diadakan di perkarangan Istana Budaya, pada 22 September lalu, bersama-sama kelab peminatnya, Siti Zone.

Antara kejayaan dicatatkan Siti pada ABPBH adalah memenangi gelaran Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali dan menggenggam trofi khas, Anugerah Seri Perak, sempena ulang tahun ke-25 acara terbabit.

Berita Harian X