Isnin, 15 Oktober 2018 | 10:01pm
AFDLIN Shauki berkongsi berita kematian ibunya, Fadzilah Jelani, di laman sosialnya sebentar tadi. - Foto Instagram Afdlin Shauki

Ibu Afdlin meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelakon, Datuk Afdlin Shauki Aksan, 47, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, kira-kira jam 5.56 petang tadi.

Berkongsi berita sedih itu menerusi laman sosialnya, Afdlin memaklumkan ibunya, Fadzilah Jelani, menghembuskan nafas terakhir di pusat perubatan berkenaan selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada 9 Oktober lalu.

Ketika mengumumkan berita kematian ibunya, Afdlin yang turut dikenali sebagai pengarah, pengacara, penyanyi dan pelawak sempat menulis sepotong ayat berbunyi: “Jumpa mummy kat syurga ya.”

Perkongsian kira-kira tiga jam lalu itu sehingga kini mendapat hampir 9,000 tanda ‘like’, selain lebih 1,100 komen yang rata-ratanya mengucapkan takziah dan memanjatkan doa buat ibunya.

Sejak seminggu lalu, Afdlin sering memuat naik perkongsian di media sosial memohon agar orang ramai mendoakan kesejahteraan ibunya.

Sebentar tadi, Afdlin turut berkongsi sekeping gambar bersama ibunya dengan iringan doa buat insan disayanginya itu.

Kelmarin, Afdlin bersama Datuk Awie, Datuk Hans Isaac dan Datuk AC Mizal berada di Singapura bagi menjayakan Baik Punya Konsert 4D di Esplanade.

Berita Harian X