Rabu, 17 Oktober 2018 | 10:32am
ARIL belum putus asa berjuang mempertahankan nama. - Foto Aswadi Alias

Biarlah orang nak cakap 'sendu' - Aril Pilus

KUALA LUMPUR: Naib juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Aril Pilus tidak terkilan apabila popularitinya dikatakan ‘sendu’, sebaliknya menerima realiti itu dengan hati terbuka.

Aril atau nama lengkapnya, Khairil Azam Pilus, 32, berkata selepas hampir sedekad menjadi artis, dia juga tidak terlepas daripada meniti fasa naik turun dalam industri hiburan.

“Tetapi, itu bukan bermakna perjuangan seni saya sudah bernoktah. Saya masih bergelut mempertahankan nama dan perkara yang sama juga dilalui artis lain.

“Naik turun dan kesukaran itu sebenarnya membuat kita lebih kebal serta berani menghadapi kehidupan. Dari situ, kita mula kenal dan menghargai kekuatan diri,” katanya.

Adik kepada penyanyi dan pengacara, Allahyarham Izwan Pilus itu berkata, semangatnya kembali membara setiap kali mengenangkan perjuangan arwah abangnya.

Hampir tujuh tahun Izwan menyahut panggilan Ilahi kerana jangkitan kuman dalam darah dan kencing tikus, Aril mengakui, puas jika dia dapat mengikuti jejak langkah abangnya.

“Selain menyanyi, arwah abang juga pernah berlakon dan mengacara. Banyak cabang seni yang diterokanya, membuatkan saya ingin menjadi seperti arwah abang.

“Saya juga puas apabila dapat menyambung pengajian dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM), tempat arwah menuntut dahulu. Insya-Allah, Oktober tahun depan, saya akan menamatkan pengajian,” katanya.

Membuktikan dia masih serius, Aril kini tampil dengan single terbaru, Pedih ciptaan Kautsar Matsin. Aril berkata, lagu berkonsep pop moden ini dirakamkan selepas musim raya lalu.

“Proses menyiapkan lagu ini mengambil sedikit masa kerana saya harus memastikan melodinya memenuhi kehendak saya,” katanya yang kali terakhir menghasilkan single, dua tahun lalu.

Berita Harian X