Jumaat, 19 Oktober 2018 | 9:35am
RIZ Amin akur namanya masih belum di puncak walaupun sudah sedekad berlakon. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Susahnya nak popular - Riz Amin

KUALA LUMPUR: Pelakon, Riz Amin pernah kebingungan apabila popularitinya masih suram, meskipun sudah lebih 10 tahun bergelumang dalam industri hiburan.

Riz, 33, berkata, dia sering tertanya-tanya mengapa sukar untuk mendaki kemuncak kerjaya seperti artis lain, sedangkan tawaran kerja yang diterimanya tidak pernah putus.

"Siapa yang tidak mahu popular atau berpeluang memegang watak utama? Tetapi, saya selalu ingatkan diri supaya bersyukur dengan apa yang ada.

“Alhamdulillah, setakat ini saya masih mempunyai pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menanggung keluarga.

"Cuma, saya belum betul-betul meniti puncak hingga pernah bertanya pendapat pengarah berpengalaman seperti Raja Mukhriz dan Heykal Hanafiah, mengapa sukar saya mengecap kejayaan,” katanya.

Pelakon filem Kalla: Hidup Atau Mati itu berkata, mereka menasihatkannya supaya pelbagaikan karakter lakonan, selain bersabar kerana mungkin rezekinya belum tiba.

Namun, kata Riz, dia terharu apabila sekumpulan peminat sanggup bekerja keras membantu mempromosikan perkembangan kerjayanya di Instagram, selain menubuhkan Rizaminations.

Riz berkata, kelab peminat itu ditubuhkan tahun lalu dan sejak itu, perkembangan kerjaya lakonannya semakin lancar, malah jumlah pengikutnya juga bertambah.

"Mereka begitu bersemangat membantu dan ia memberi impak positif kepada perjalanan kerjaya seni saya.

Mereka tahu setiap perkembangan kerjaya saya apabila semua aktiviti dikongsi menerusi Instagram.

“Alhamdulillah, melalui mereka juga, Riz Amin menjadi satu jenama yang semakin kukuh dalam bidang ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Riz bakal muncul dengan dua filem iaitu Tujuh pada 8 November ini, disusuli Polis Evo 2 yang ditayangkan bermula 22 November ini.

Berita Harian X