Jumaat, 19 Oktober 2018 | 5:27pm
PELAKON, Rita Rudaini (kiri) dan Zahirah Macwilson. - Foto Khairul Azhar Ahmad/Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Rita Rudaini (kiri) dan Zahirah Macwilson. - Foto Khairul Azhar Ahmad/Halimaton Saadiah Sulaiman

Rita terkilan difitnah cemburukan Zahirah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini, terkilan apabila dirinya difitnah kononnya cemburukan aktres muda, Zahirah Macwilson.

Rita, 42, berkata dia terkejut apabila dituduh enggan menjalinkan kerjasama dengan Zahirah bagi sebuah acara anugerah, sedangkan dirinya tidak pernah mengenali pelakon terbabit secara dekat.

"Saya ditanya, betulkah saya ada masalah dengan seorang pelakon. Kemudian saya tanya, siapa pelakon itu? Apabila diberitahu nama Zahirah, saya terkejut.

"Tiada sebab untuk saya bersikap sedemikian dengan Zahirah kerana saya belum pernah menjalinkan kerjasama dengannya atau mengenali dirinya dengan dekat," kata Rita kepada BH Online.

Pelakon Misi Laksa dan Laksam itu berkata, dia pelik dengan sikap sesetengah individu yang suka menyebarkan cerita tidak sahih.

Tegasnya juga, dia bukanlah artis yang suka mencari publisiti menerusi khabar angin merapu.

"Apakah orang yang suka buat fitnah dan reka cerita tak betul boleh tidur dengan lena? Tidakkah mereka berasa bersalah dengan mengada-adakan cerita? Apakah mereka bahagia apabila menyebarkan berita palsu?

“Saya tidak mahu hidup dengan cerita kontroversi atau tak masuk akal. Mungkin sesetengah artis perlukan publisiti sebegitu, tetapi bukan saya. Sejak awal saya berlakon, niat saya cuma satu iaitu mahu mencari rezeki," katanya.

Rita berharap, perkara itu tidak dibangkitkan lagi bagi mengelakkan namanya dan Zahirah, 23, terjejas.

"Isu sebegini hanya akan menimbulkan salah faham pada Zahirah yang tidak tahu cerita sebenar. Apa pun, saya harap ia tidak lagi dibangkitkan dan tiada lagi khabar angin mengarut seperti ini," tegasnya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X