Rabu, 24 Oktober 2018 | 9:47am
SUFIAN Suhaimi pada sidang MM33 di The International Gallery, Bukit Kiara. - Foto Syazana Rose Razman
SUFIAN Suhaimi pada sidang MM33 di The International Gallery, Bukit Kiara. - Foto Syazana Rose Razman

'Sudah-sudahlah 'bahankan' saya'

KUALA LUMPUR: “Bukan saya yang tak 'move on', tetapi netizen yang belum dapat menerima hakikat ikatan pertunangan kami sudah lama terputus,’’ kata penyanyi, Sufian Suhaimi, 26, mengenai isu hubungannya dengan bekas tunang yang masih terus dibangkitkan.

Katanya, masyarakat tidak sepatutnya memperkatakan lagi perkara yang sudah berlalu, tambahan pula dia dan bekas tunangnya sudah mempunyai kehidupan sendiri.

"Sudah-sudahlah menjadikan saya sebagai bahan. Kami sudah memilih jalan hidup sendiri, malah rasanya masing-masing gembira dengan pilihan yang dibuat dan tiada sebab untuk sesiapa membangkitkan cerita lama.

"Lagipun, ada banyak benda yang saya perlu berikan tumpuan sepanjang tahun ini hingga tahun depan. Lebih baik saya utamakan kerjaya seni," katanya selepas sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik 33 (MM33), semalam.

Menurut penyanyi lagu Di Matamu itu lagi, dia tidak menutup pintu hati untuk wanita lain, namun mencari pengganti seperti disaran sesetengah orang bukan keutamaan.

Tegas Sufian, segala pengalaman hidup yang dilalui termasuk episod putus tunang menjadikannya insan lebih tenang dan matang.

Terdahulu, dia yang baru menggenggam Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam

memaklumkan turut menerima tawaran menyambung pengajian.

"Saya diajukan tawaran untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD), tetapi disebabkan masa, ia mungkin bukan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sebelum ini, Sufian dan Elfira Loy pernah mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober tahun lalu serta merancang untuk mendirikan rumah tangga pada Mac lalu.

Namun, jodoh tidak kesampaian apabila ikatan pertunangan putus pertunangan pada 18 Februari lalu.

Selepas enam bulan ikatan itu terlerai, Elfira menjalin pertunangan dengan ahli perniagaan berusia 27 tahun pada awal September lalu.

Berita Harian X