Rabu, 24 Oktober 2018 | 4:36pm
PENYANYI, Ernie Zakri ketika menghadiri malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 di PICC Putrajaya. - Foto Aziah Azmee
EKSEKUTIF Promosi FMC Music, Sam Samin. - Foto Khairul Azhar Ahmad

'Misteri tak layak bukan kerana FMC'

KUALA LUMPUR: Kegagalan Misteri dendangan Ernie Zakri berada dalam senarai lagu yang bertanding pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 33 tiada kena mengena dengan syarikat rakaman lamanya, FMC Music.

Eksekutif Promosi syarikat terbabit, Sam Samin, sebaliknya percaya bukan rezeki karya ciptaan Gouffran dan Sang Hitam itu untuk sama-sama merebut tempat ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), kali ini.

“Tidak timbul soal campur tangan syarikat rakaman seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak. Malah, jauh sekali pihak FMC mahu mempertikaikan keputusan lagu yang layak bertanding pada separuh akhir. Pihak berkenaan lebih arif dalam hal itu.

“Saya anggap bukan rezeki Ernie untuk bertanding kali ini. Ikutkan, kami di FMC turut berharap lagu terbabit mampu mara ke separuh akhir dan seterusnya ke pentas AJL 33, andainya ada rezeki.

“Sekalipun Ernie tidak lagi bersama FMC, kami sendiri mahu momentum diraihnya pada AJL tahun lalu, bersama Syamel, dapat diteruskan. Kami tentunya bangga jika lagu berkenaan dapat ke AJL 33,” katanya kepada BH Online.

Menurut Sam, seandainya Misteri dan Ernie layak ke AJL edisi ke-33 itu, tidak wujud sebarang isu berkaitan dirinya yang kini bernaung di bawah syarikat lain kerana lagu berkenaan tetap hak FMC.

“Saya secara peribadi berasakan Misteri cukup kuat sebagai sebuah karya untuk bersaing dalam sesebuah pertandingan,” katanya.

Sebelum itu, ketiadaan lagu terbabit dalam senarai karya ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 33 mengundang pelbagai spekulasi, termasuk kaitannya dengan campur tangan syarikat naungan Ernie terdahulu, FMC.

Ernie berpindah ke syarikat pengurusan baharu, Rocket Fuel, sejak hujung Julai Lalu.

Menurut Sam lagi, Ernie sendiri bertukar syarikat pengurusan dengan cara yang baik.

“Dia keluar daripada FMC secara baik. Kontraknya juga tamat ketika dia mempromosikan lagu Misteri,” kata Sam.

Semalam, BH Online melaporkan ramai peminat Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri kecewa apabila Misteri tidak berada dalam senarai separuh akhir program popular berkenaan.

Berita Harian X