Khamis, 25 Oktober 2018 | 2:23pm
SUAMI dan anak menjadi sumber kekuatan Dia untuk menamatkan pengajian. - Foto Instagram Dia Fadila

Pengorbanan empat tahun Dia Fadila terbayar

KUALA LUMPUR: Bergelut dengan pelbagai tugasan, selain membesarkan dua cahaya mata yang masih memerlukan perhatian rapi, Dia Fadila bersyukur impian menggenggam ijazah Sarjana Seni Persembahan Muzik dari Universiti Malaya (UM) menjadi kenyataan.

Menerima ijazah itu sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-58 pada 22 Oktober lalu, Dia atau nama sebenarnya, Nur Fardilla Nadia Abu Bakar, 34, yang juga peserta Gegar Vaganza musim kelima (GV5) berbangga dengan kejayaan yang diraih.

“Mengikut perancangan asal, pengajian saya tamat dalam masa dua tahun, namun berlanjutan sehingga empat tahun apabila saya hamil dan melahirkan anak kedua, Chinta Qadisa.

“Saya percaya, semua cabaran dan dugaan itu memberikan kenangan yang cukup indah apabila akhirnya impian menggenggam ijazah menjadi kenyataan.

“Sebenarnya, sudah lama saya mahu menyambung pengajian, namun masa agak terbatas kerana sebelum ini saya sibuk dengan kerjaya sebagai pensyarah,” katanya.

DIA bersama dua permata hatinya selepas menerima ijazah Sarjana Seni Persembahan Muzik. - Foto Instagram Dia Fadila

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu, Aku Masih Setia itu berkata, selepas berhenti kerja pada 2014, dia nekad meneruskan pengajian kerana sudah tidak begitu aktif menyanyi.

“Daripada tidak buat apa-apa, lebih baik sambung belajar. Tetapi, tidak sangka selepas itu saya hamil. Fasa mengandung dan melahirkan anak kedua amat memberi cabaran.

“Selain menguruskan bayi, anak pertama, Qaseh Dhiya juga memerlukan perhatian. Saya pula tidak menggunakan khidmat pembantu rumah.

“Pernah apabila terlalu tertekan, saya hampir berputus asa dan tidak mahu lagi meneruskan pengajian. Namun, suami, ibu dan pensyarah banyak memberikan kata semangat.

“Ketika itu, pengajian saya sudah separuh jalan. Saya gagahkan juga diri untuk menyelesaikannya. Bayangkan saya hanya memberi fokus kepada pelajaran selepas jam 12 tengah malam dan kebiasaannya akan tidur jam 4 pagi,” katanya.

Mengulas pembabitannya dalam GV5, graduan ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor itu berkata, dia hanya mendapat keberanian untuk mencuba pada musim ini.

“Saya pernah ditawarkan untuk menyertai program ini musim lalu, tetapi menolaknya kerana belum bersedia.

Lagipun, ketika itu, saya fokus mahu menamatkan dahulu pengajian.

“Anak pula masih kecil, bimbang saya tidak mampu memberi fokus. Apabila tamat pengajian awal tahun ini dan anak pertama sudah bersekolah, rasanya ini masa yang tepat untuk saya kembali aktif,” kata isteri kepada Redza Abdullah Sanusi itu.

Berita Harian X