Khamis, 25 Oktober 2018 | 4:29pm
PERSONALITI TV, pelakon dan ikon fesyen, Wak Doyok, kehilangan bapa tercinta, pagi tadi. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa

Bapa Wak Doyok meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bapa ikon fesyen dan personaliti televisyen, Wak Doyok, menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun, pagi tadi.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Mohd Nor, 39, memaklumkan khabar menyedihkan itu menerusi laman sosial Instagramnya, beberapa jam lalu.

“Salam semua. Inna Lillahi wa inna ilayhi raji'un. Baba (ayah) saya baru sahaja meninggal dunia. Tolong sedekahkan Al-Fatihah buat Baba saya," tulisnya pada status yang disertakan dengan paparan surah terbabit.

Sumber terdekat memaklumkan, jenazah Allahyarham Mohd Nor Abd Hamid akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.

Difahamkan, Allahyarham yang menjalani pembedahan, beberapa hari lalu, mengalami komplikasi pada jantung dan bahagian ususnya.

Perkongsian pelakon Abang Long Fadil 2 itu sehingga kini menerima lebih 650 komen yang rata-rata mengucapkan takziah dan berharap dia tabah berdepan pemergian insan tercinta.

Berita Harian X