Sabtu, 27 Oktober 2018 | 10:15am
PENYANYI, Datuk Fazley Yaakob. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
PENYANYI, Datuk Fazley Yaakob. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Ramai minta petua jadi suami romantik daripada Fazley

KUALA LUMPUR: Gara-gara video dirinya menghadiahkan jambangan bunga kepada isteri seperti dikongsi di Instagram, ramai lelaki meminta petua daripada cef selebriti yang juga penyanyi, Datuk Fazley Yaakob, untuk menjadi suami romantik sepertinya.

Fazley, 40, yang juga penceramah motivasi berkata, pada mulanya dia risau akan dimarahi kerana ramai wanita yang menandakan atau ‘tag’ suami masing-masing, meminta untuk dilayani seperti dalam video terbabit.

Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila dia mendapat banyak mesej peribadi daripada golongan lelaki, yang membuktikan sebenarnya ramai dalam kalangan suami masih berusaha untuk menggembirakan pasangan mereka.

"Ramai yang bertanya kepada saya, apa perlu mereka buat selepas nama masing-masing dipetik oleh isteri masing-masing? Ada juga yang bertanya cara termudah bagi membeli bunga untuk isteri, memandangkan mereka tiada masa untuk mencarinya.

"Jujurnya, saya tak sangka mereka meminta ‘tips’ dan cadangan untuk menjadi suami romantik. Ia menunjukkan mereka memiliki kesungguhan untuk cuba membahagiakan pasangan dan perkara ini amat menggembirakan saya," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Fazley berkongsi video dirinya menghadiahkan jambangan bunga buat dua wanita yang dicintainya, iaitu isteri, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz, 39, dan ibunya, Datin Umi Kalsom Abdol Latib.

Menurutnya, ia antara rutin yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali, sebagai tanda penghargaan, sayang dan cinta buat kedua-dua wanita itu.

Dalam pada itu, Fazley berkata, walaupun dia sering mengirimkan bunga atau nota cinta kepada isteri, sikap Azrene pula agak berbeza.

Menurut penyanyi Asmara Ini itu, isterinya lebih selesa menunjukkan kasih sayang menerusi perbuatan seperti bermanja atau memasak menu kegemarannya.

"Bayangkan, saya memberikannya nota cinta panjang berjela, dia hanya membalas dengan ucapan ‘terima kasih sayang’. Saya bagaimanapun tidaklah terasa hati kerana cara balasan cintanya lebih kepada perbuatan.

"Apa pun bagi golongan lelaki, biarpun pasangan anda berkata tidak sukakan bunga, hadiahkan sahaja jambangan berkenaan untuk mereka, pasti masing-masing akan ‘cair’ dan menghargainya," tuturnya.

Berita Harian X