Ahad, 28 Oktober 2018 | 4:11pm
NAD elak pengambilan minuman berkarbonat untuk menjaga kesihatan. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Nad Zainal tinggalkan tabiat buruk demi penampilan

KUALA LUMPUR: Andai sebelum ini, dia tidak terlalu memikirkan kesan pengambil minuman berkarbonat, namun apabila menganjak usia 28 tahun, pelakon Nad Zainal semakin peka menjaga penampilannya.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin berkata, dia gemar menikmati minuman berkarbonat sejak usia remaja, malah tidak terlalu mengendahkan kesannya terhadap tubuh.

“Apabila sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai cahaya mata, saya mula mementingkan penjagaan kesihatan serta penampilan.

“Dulu, saya kerap mengalami masalah kulit terutama wajah yang mudah berjerawat. Namun, perlahan-lahan saya cuba mengurangkan pengambilan air berkarbonat dan sedikit demi sedikit saya mula nampak perubahan yang ketara pada struktur kulit.

“Tidak hanya itu, saya juga membataskan pengambilan makanan bergoreng, selain coklat dan telur. Alhamdulillah, kulit wajah saya semakin baik dan saya tidak perlu lagi mengeluarkan belanja besar untuk merawatnya,” katanya.

Nad mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amirudin, 29, pada 18 Disember 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Fahad Ibrahim yang kini berusia dua tahun.

Ditemui pada sidang media Anugerah Skrin (ASK) 2018, Nad bersyukur, dua drama lakonannya, Dosa Perempuan dan Fatonah Azali turut tersenarai pada acara yang akan berlangsung 2 November ini.

“Saya menyerahkan semuanya kepada rezeki kerana semua drama yang dicalonkan mempunyai kekuatan yang tersendiri.

“Kebanyakan drama yang bertanding turut mengangkat tema yang hampir sama, membuatkan saya sukar meramalkan peluang.

“Mungkin jika barisan juri menginginkan sesuatu yang berbeza, mereka memilih pemenang daripada drama yang mengetengahkan mesej berlainan,” kata Nad.

Berita Harian X