Isnin, 29 Oktober 2018 | 1:52pm
YUKA sanggup keluarkan modal besar untuk perkenalkan bakat kepada umum. Foto: Zunnur Al Shafiq

'Biarlah orang cakap saya syok sendiri'

KUALA LUMPUR: Hampir lima tahun mencuba, penyanyi kelahiran Acheh, Indonesia, Yuka Kharisma akur tidak mudah untuk memperkenalkan bakat, apatah lagi meraih peluang menjayakan persembahan besar.

Kekangan itu membuatkan Yuka, 29, tidak kesal mengeluarkan modal besar menganjurkan konsert sebagai ruang untuk mengukuhkan lagi namanya di negara ini.

Pernah bergabung dengan penyanyi popular, Anuar Zain dan Bunga Citra Lestari atau BCL menerusi BCL, Anuar Zain & Yuka Kharisma Live In Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), April lalu, Yuka berkata, banyak yang dipelajarinya daripada penganjuran konsert itu.

“Setiap penyanyi pasti mempunyai impian mengadakan konsert. Saya juga mempunyai hasrat yang sama, namun sedar nama saya masih belum kukuh untuk menarik perhatian umum.

“Apa salahnya untuk melunaskan impian itu, saya bekerjasama dengan nama popular lain kerana ia secara tidak langsung, membantu saya mempromosikan bakat dengan lebih berkesan.

“Saya tidak kisah mengeluarkan modal besar demi kepuasan diri kerana jika saya hanya duduk menanti, sampai bila pun ia tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Meskipun ada yang beranggapan caranya itu sebagai syok sendiri, Yuka yang pernah meraih Artis Baharu Wanita Terbaik, Anugerah Planet Muzik Ke-15 berkata, dia tidak pernah serik untuk terus mencuba.

Akur tidak mudah untuk menganjurkan konsert besar, Yuka masih bersemangat meneruskan usahanya kerana minat yang terlalu mendalam terhadap muzik.

“Alhamdulillah, konsert itu banyak membantu memperkenalkan nama saya kepada umum. Jika diberi peluang, saya mahu mengulanginya lagi.

“Saya juga ingin beraksi sendirian di atas pentas, namun belum masanya kerana nama saya tidak begitu kukuh lagi di sini,” katanya.

Yuka berkata, selepas hampir lima tahun mencuba, dia masih berusaha memperkenalkan bakatnya supaya diterima umum.

“Dalam hidup, kita tidak boleh menyerah kalah. Saya perlu bangkit mencari peluang yang ada kerana percaya, suatu hari nanti hasilnya pasti akan nampak.

“Biarlah saya menapak perlahan, asalkan langkah itu pasti. Semangat juang saya masih tinggi untuk memahat nama setanding penyanyi popular lain,” katanya.

Berita Harian X