Rabu, 31 Oktober 2018 | 1:09pm
HANNA enggan namanya dikenali kerana kontroversi. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Tak perlu rosakkan nama untuk popular - Hanna Aqeela

PETALING JAYA: Pelakon, Hanna Aqeela mengaku pernah disaran oleh beberapa teman industri supaya mencipta kontroversi sebagai laluan mudah untuk memperkenalkan nama.

Hanna atau nama sebenarnya, Hanna Aqeela Mohd Rosni, 28, bagaimanapun menolak cara itu kerana tidak mahu terjebak dengan publisiti murahan yang menjanjikan populariti sementara.

“Saya akui memang sukar membina nama, walaupun sudah lima tahun berlakon. Melihat laluan sukar itu, ramai rakan dalam bidang ini menyarankan saya membuat kontroversi supaya nama cepat dikenali.

“Mereka risau apabila nama saya lambat menyerlah dan mahu melihat saya lebih berjaya. Bagi saya, biarlah populariti datang perlahan-lahan.

“Masih banyak lagi saya kena belajar kerana saya tiada asas dalam bidang ini. Untuk apa kontroversi bukan-bukan kerana nanti, reputasi saya juga yang terjejas. Saya tidak mahu itu berlaku,” katanya.

Hanna berkata, walaupun namanya masih belum berada di puncak, itu bukan alasan untuk dia berputus asa.

“Saya tidak akan menyerah kalah kerana setakat ini, tawaran berlakon tidak pernah putus. Saya menceburi bidang ini kerana minat dan bukan sebab nak glamor,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini ditemui pada majlis tayangan filem, Operasi X lakonannya di Mutiara Damansara, di sini, baru-baru ini.

Dalam filem bergenre aksi itu, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri, Bila Hati Berbicara dan I Love You, Mr Arang itu memegang watak guru bernama Ayu yang menjalin cinta dengan ASP Redzuan lakonan Datuk Aaron Aziz.

Filem arahan Sandosh Kesavan, terbitan Dream Pictures Production ini bakal menemui penonton, esok.

Berita Harian X