Rabu, 31 Oktober 2018 | 2:07pm

Wany Hasrita hadiahkan ibu kereta

KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Wany Hasrita yang menerima kereta Citroen C4 Picasso L2 sebagai ganjaran kemenangan menghadiahkan kenderaan itu buat ibu tersayang, Norita Jaafar.

Wany berkata, kemenangannya pada malam kemuncak ABPBH 31 lalu lebih bermakna apabila dapat berkongsi kegembiraan itu bersama insan yang banyak berjasa membesarkannya selama ini.

“Kereta yang dimenangi ini dihadiahkan kepada ibu yang menjadi idola dan tulang belakang kekuatan saya sejak dulu. Rezeki daripada kemenangan itu juga memudahkan pergerakan ibu untuk menjalani rutin harian.

“Alhamdulillah, rezeki ini dapat kami kongsi bersama selepas mengharungi susah dan senang. Lagipun, ibu belum membenarkan saya untuk memandu sendiri kerana bimbangkan keselamatan,” katanya.

Wany atau nama sebenarnya, Nur Shazwany Hasrita Hasbullah, 25, menerima hadiah itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Naza Euro Motors Sdn Bhd, Yasser Awan disaksikan Pengarang Eksekutif BH merangkap Penaung ABPBH 31, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

KEMENANGAN Wany pada malam kemuncak ABPBH 31 lalu lebih bermakna apabila dapat berkongsi kegembiraan bersama insan yang banyak berjasa membesarkannya selama ini. - NSTP/Aziah Azmee
KEMENANGAN Wany pada malam kemuncak ABPBH 31 lalu lebih bermakna apabila dapat berkongsi kegembiraan bersama insan yang banyak berjasa membesarkannya selama ini. - NSTP/Aziah Azmee

WANY menghadiahkan kereta yang diterimanya sebagai pemenang Bintang Paling Popular, ABPBH 31 kepada ibunya. - NSTP/Aziah Azmee
WANY menghadiahkan kereta yang diterimanya sebagai pemenang Bintang Paling Popular, ABPBH 31 kepada ibunya. - NSTP/Aziah Azmee

Yang turut hadir Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Pengelola ABPBH 31, Shamshul Azree Samshir.

Pada malam kemuncak ABPBH 31 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 7 Oktober lalu, Wany meraih undian tertinggi menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular dengan 2,052,997, sekali gus dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

Wany yang popular dengan lagu Menahan Rindu menafikan pencabar terdekatnya, Khai Bahar, selain menghampakan pemenang tahun lalu, Fattah Amin.

YASSER (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Wany di Balai Berita NSTP Bangsar. - NSTP/Aziah Azmee
YASSER (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Wany di Balai Berita NSTP Bangsar. - NSTP/Aziah Azmee

Menerusi kemenangan itu, Wany yang juga lulusan Sarjana Muda Sains Perubatan, Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam itu membawa pulang hadiah utama, kereta Citroen C4 Picasso L2 bernilai kira-kira RM126,000 berserta trofi.

Wany turut mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular, menghampakan pemenang edisi lalu, Siti Nordiana yang memberikan saingan sengit untuk membuktikan pengaruhnya di mata peminat.

WANY yang menerima kereta Citroen C4 Picasso L2 sebagai ganjaran kemenangan ABPBH 31 menghadiahkan kenderaan itu buat ibu tersayang, Norita. - NSTP/Aziah Azmee
WANY yang menerima kereta Citroen C4 Picasso L2 sebagai ganjaran kemenangan ABPBH 31 menghadiahkan kenderaan itu buat ibu tersayang, Norita. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X