Jumaat, 2 November 2018 | 2:53pm
PASANGAN selebriti Hairul Azreen dan Hanis Zalikha tidak sabar menantikan kelahiran anak kedua.

Yusof Iskandar bakal dapat adik

KUALA LUMPUR: Pelakon Hairul Azreen, 28, mengakui tidak sabar menanti detik isterinya, Hanis Zalikha yang sedang hamil melahirkan anak kedua mereka.

Masih merahsiakan usia kandungan isterinya, pelakon filem Paskal yang dihubungi BH Online menerusi aplikasi Whatsapp berkata, mereka sekeluarga bersyukur apabila Hanis disahkan kembali mengandung.

"Alhamdulillah, Yusof Iskandar akan mendapat adik. Tidak sabar menantikan detik kelahirannya nanti, apatah lagi anak sulung kami juga semakin membesar dan perlukan teman.

“Tiada apa yang kami harapkan kecuali anak kedua ini akan lahir sempurna, sihat walafiat, disayangi ramai dan menjadi anak yang soleh atau solehah," katanya.

Hairul yang sedang bercuti bersama keluarganya berkongsi berita gembira itu menerusi akaun Instagram, malam tadi.

Menerusi gambar keluarga yang dikongsi itu, perubahan pada susuk tubuh Hanis sudah mula kelihatan. Paparan itu menerima ucapan tahniah daripada pengikut mereka yang turut berkongsi kegembiraan pasangan itu.

Pasangan pelakon ini diijabkabulkan pada 5 Jun 2015 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Yusuf Iskandar pada 3 Jun 2016.

Berita Harian X