Ahad, 4 November 2018 | 11:40am
NAZEERA meraikan kejayaan menggenggam Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) bersama ibunya. - Foto Instagram Nazeera Sardi
NAZEERA meraikan kejayaan menggenggam Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) bersama ibunya. - Foto Instagram Nazeera Sardi

Keluarga, kekasih dorong kejayaan Nazeera

KUALA LUMPUR: Selain sokongan keluarga, pelakon, Nazeera Sardi, mengakui kekasihnya turut menjadi tulang belakang dalam usahanya meraih Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kata Nazeera atau nama sebenarnya Siti Nazirah Sardi, 32, saat dirinya sibuk menguruskan kerjaya dan pengajian, kekasihnya sentiasa memberikan dorongan serta memahami jadualnya yang padat.

"Saya ada berkawan dengan seseorang tatkala sibuk dengan jadual pengajian dan kerjaya. Mujurlah dia seorang yang amat memahami. Maklumlah, dek kesibukan saya dengan beberapa perkara, hendak keluar bersama pun tidak sempat.

“Dia sentiasa menyokong apa sahaja saya lakukan. Saya juga amat terhutang budi pada keluarga yang selalu memberikan kekuatan untuk saya meneruskan pengajian sehinggalah berjaya menggenggam ijazah," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Nazeera berkongsi berita gembira dirinya menerima Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) di Instagram miliknya.

Menerusi kapsyen pelakon drama Pembancuh Kopi Mr Vampire itu, dia menghadiahkan kejayaan berkenaan untuk ibunya.

“Jangan menangis Mak... Ini terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan kasih sayang Mak. Ini untuk Mak. Harap Mak gembira kerana saya memang mahu sentiasa gembira dan bangga dengan anaknya,” katanya.

Bagaimanapun, Nazeera sedih kerana arwah bapanya tidak dapat bersama menyaksikan kejayaannya itu.

Sementara itu, bercakap mengenai perancangan masa depan, Nazeera berkata, dia berhasrat untuk menyambung pengajiannya, namun bukan dalam masa terdekat.

Dia sebaliknya ingin terlebih dulu memperkukuhkan kedudukannya dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

"Sepanjang dua tahun setengah saya belajar, berlakon dan pada masa sama menguruskan perniagaan, ia bukan sesuatu yang mudah.

"Jadi, saya mahu berehat seketika dan memberikan dulu perhatian kepada kerjaya seni serta perniagaan. Saya memang mempunyai impian untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, tetapi bukanlah sekarang.

"Cuma, ketika ini saya ada terfikir untuk menganjurkan ceramah bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dalam perniagaan, pada masa akan datang," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nazeera bakal terbabit dengan penggambaran program Semanis Cuka dan drama, Tahyul, terbitan Ari Zahari Production.

Berita Harian X