Ahad, 4 November 2018 | 2:24pm
Umie melihat dirinya dalam jiwa Nad yang sentiasa berusaha meningkatkan prestasi kerjaya sebagai pelakon. Umie dan Nad masing-masing diiktiraf pada ASK 2018. - Foto IG Nad Zainal

'Nad sama macam saya'

KUALA LUMPUR: Pelakon Filem Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2018, Datin Seri Umie Aida menyifatkan Nad Zainal sama seperti dirinya yang ikhlas berjuang dalam dunia seni.

Umie yang mempamer lakonan cemerlang dalam filem Dukun arahan Dain Said hingga dipilih juri merangkul trofi idaman ramai itu mengaku melihat dirinya dalam Nad.

“Saya melihat diri ini dalam Nad... Ini termasuk dalam soal keikhlasan dan kejujuran Nad dalam melakari kerjaya seninya.

“Sebelum ini, kami pernah berentap pada ASK 2013 namun rezeki berpihak kepada saya.

“Di sebalik apa yang dilaluinya, saya lihat keikhlasan Nad tidak pernah pudar,” katanya kepada BH Online.

Nad turut diiktiraf pada ASK 2018 apabila dijulang sebagai Pelakon Drama Wanita Terbaik melalui lakonannya sebagai gadis autisme dalam drama Fatonah Azali.

Umie gembira apabila Nad mendapat penghargaan dan berjaya membuktikan mutu kerjanya diiktiraf.

“Kekuatan dalaman dan konsisten ada dalam diri Nad... Dia layak menang, sayang Nad,” katanya.

Umie yang terkenal menerusi drama Mak Cun berharap Nad dapat menjadi contoh kepada artis muda lain.

Sementara itu, Nad berbangga dapat berkongsi detik indah kejayaannya pada ASK 2018 bersama Umie.

“Dari zaman sekolah lagi, tanyalah emak, dia tahu saya memang suka sangat sangat Umie.


Umie dan Nad. - Foto IG Nad Zainal

“Emak pun suka... Sekarang. saya dapat bergambar dan berborak dengan idola saya. Sebab itulah orang kata, selalu minta dan doa yang baik-baik... Alhamdulillah ia akan menjadi kenyataan,” katanya.

Nad meminati beberapa naskhah lakonan Umie seperti Surah Terakhir dan Kerana Cintaku Saerah

“Dua judul itu akan terus menjadi kegemaran saya dalam konteks lakonan Umie. Dia terbaik... Umie memang tiada dua,” katanya.

Berita Harian X