Rabu, 7 November 2018 | 9:21am
HAFREEZ sudah bersedia galas tanggungjawab sebagai suami. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Hafreez rancang sunting Zara tahun depan

KUALA LUMPUR: Seperti pasangan bercinta lain, Hafreez Adam dan Zara Zya juga mengharapkan hubungan istimewa yang sudah beberapa bulan terjalin antara mereka berakhir dengan ikatan perkahwinan.

Mengakui pernah berbincang mengenai perkara itu dengan kekasihnya, Hafreez, 28, berkata, dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai suami dan berharap impian untuk disatukan akan terlaksana tahun depan.

“Memang impian kami berdua untuk bernikah tahun depan, namun perkara ini belum dibincangkan secara serius antara keluarga kedua-dua belah pihak.

“Diikutkan kami mahu terus bernikah, tetapi emak saya pula lebih selesa kami mengikut adat. Saya sudah bertemu keluarga Zara dan mereka ada memberitahu, jika bersedia, hantarlah rombongan meminang.

“Cuma, buat masa ini kami masih mencari masa yang sesuai untuk keluarga kedua-dua belah pihak bertemu dan berbincang lebih lanjut mengenainya. Zara pula agak sibuk kerana jadual lakonannya tidak putus hingga akhir tahun,” katanya.

Kisah cinta pasangan ini kembali diperkatakan apabila Zara yang popular menerusi drama Love You Mr Arrogant memuat naik foto dia menerima cincin daripada Hafreez di laman Instagram, baru-baru ini.

Foto itu mencetuskan spekulasi dirinya sudah dilamar, namun Zara menegaskan, cincin itu adalah hadiah kekasihnya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-33 pada 22 Oktober lalu.

ZARA menerima cincin daripada Hafreez, baru-baru ini. - IG Zara Zya

Mengesahkan perkara itu, Hafreez berkata, dia dan Zara tidak akan menyorok perkara yang benar .

“Jika betul kami bertunang, sudah pasti perkara ini kami akan maklumkan kepada semua. Setakat ini, belum ada lagi perbincangan rasmi antara keluarga kami.

“Sama seperti pasangan bercinta lain, saya juga mengharapkan hubungan kami berakhir dengan ikatan perkahwinan,” kata Hafreez.

Pelakon yang popular menerusi drama Akadku Yang Terakhir dan Hikayat Cinta Si Pematah Hati itu berkata, ketika ini, dia sedang sibuk menguruskan perniagaan yang dijalankan bersama keluarga.

“Saya terpaksa tangguhkan dulu minat terhadap lakonan. Sejak dua tahun lalu, saya tidak berhenti berlakon dan rasanya, ini masa yang tepat untuk saya berehat seketika dan memberikan semula fokus kepada perniagaan,” katanya.

Hafreez dan Zara mula akrab ketika sama-sama membintangi drama rantaian Mona Lisa yang turut menampilkan Nazim Othman serta Mona Allen.

Berita Harian X