Rabu, 7 November 2018 | 3:35pm
ZULIN Aziz. - Ihsan IG Zulin Aziz

'Saya tak buat untung dengan lagu ini'

KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio yang juga penyanyi, Zulin Aziz menyifatkan lagu terbarunya, Dan Ketika Itu sebagai motivasi kepada insan yang pernah melalui kekecewaan dalam percintaan.

Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abd Aziz berkata, dia sengaja merakamkan pengalaman pahit itu sebagai kenangan, sekali gus memberi semangat kepada insan lain supaya tidak tewas dengan kegagalan.

“Saya tidak minta simpati, jadi saya terkilan apabila dikatakan sengaja meraih publisiti murahan dengan ‘menjual’ cerita peribadi untuk memperkenalkan lagu itu.

“Hanya mereka yang pernah melalui pengalaman pahit itu mengerti betapa sakitnya apabila dikecewakan. Sakit bagaimana sekali pun pengalaman, jangan sesekali meratapi nasib diri.

“Selalu ingat Allah sentiasa ada dan itu yang memberikan saya kekuatan untuk berkongsi pengalaman. Lagu ini adalah ‘dakwah’ saya kepada insan senasib, membuatkan saya langsung tidak terfikir untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Menolak dakwaan dia sengaja meraih perhatian apabila meluahkan isi hatinya selepas impian ke jenjang pelamin tidak menjadi kenyataan, Zulin berkata, bukan caranya melakukan gimik murahan semata-mata untuk memperkenalkan lagu.

“Jika memang benar saya mahu melakukan gimik, untuk apa saya jelaskan panjang lebar perkara sebenar sebelum video muzik ini dilancarkan.

“Saya keliru dengan sikap segelintir netizen, malah tidak tahu apa sebenarnya yang mereka ingin buktikan. Saya buat lagu ini bukan untuk meraih keuntungan kerana ia tidak dijual di mana-mana platform digital atau dipromosikan,” katanya.

Di sebalik kekecewaan itu, Zulin bersyukur kerana lagu itu meraih 1.4 juta tontonan selepas empat hari diperkenalkan dan masih kekal ‘trending’di tangga teratas YouTube tempatan.

Zulin yang pernah menghasilkan single, Terbiar dan Keliru berkata, Dan Ketika Itu pada mulanya dicipta sebagai lagu tema majlis perkahwinannya yang sepatutnya berlangsung bulan lalu.

“Selepas semua yang dirancang tidak menjadi kenyataan, lirik lagu ini ditukar sedikit. Alhamdulillah, ramai yang memberikan komen positif, membuatkan saya kembali bersemangat untuk bangkit meneruskan hidup,” katanya.

Berita Harian X