Sabtu, 10 November 2018 | 4:22pm
PENGARAH filem, Mamat Khalid (tengah) bersama pelakon Hantu Kak Limah. - Foto Mahzir Mat Isa

'Bonus HKL atas budi bicara'

KUALA LUMPUR: Penerbit filem pecah panggung, Hantu Kak Limah (HKL), Astro Shaw dan Infinitus Gold menjelaskan agihan bonus kepada pelakon dan kru produksi tidak termaktub dalam kontrak sebaliknya dibuat atas dasar penghargaan.

Astro Shaw dalam kenyataan menyebut, pihak produksi berbesar hati menyerahkan bonus bersandarkan budi bicara biarpun tiada pemberian seumpama itu dinyatakan dalam perjanjian.

“Dalam penerbitan filem, penerbit perlu berdepan pelbagai risiko sebelum sesebuah filem mendapat kutipan tinggi. Tambahan lagi, pembahagian keuntungan harus ditolak dengan 25 peratus cukai hiburan.

“Daripada baki itu, ia dibahagikan pula dengan pihak pemamer pada kadar agihan 40 : 60. Dengan jumlah 40 peratus itu, penerbit perlu menolak kos produksi, pemasaran dan pengedaran sebelum jumlah keuntungan dicapai.

“Lazimnya, barisan pelakon dan kru sudah ditetapkan jumlah bayaran masing-masing dan tiada pemberian bonus seperti dalam kontrak.

“Namun, penerbit HKL berbesar hati memberi bonus atas tanda penghargaan dan budi bicara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kelmarin, pelakon utama filem HKL, Datuk Awie terkilan bonus yang diterima daripada penerbit tidak setimpal dengan kutipan lebih RM30 juta yang diraih filem pecah panggung itu.

Tampil mewakili pelakon dan kru produksi, Awie, 50, menganggap jumlah bonus yang diagihkan penerbit tidak adil.

Filem arahan Mamat Khalid itu mencipta fenomena apabila mengaut kutipan RM38 juta sejak dipertontonkan, Ogos lalu.

Sementara itu, Astro Shaw turut berterima kasih kepada peminat filem tempatan yang memberi sokongan hingga HKL mengaut kutipan pecah panggung.

“Industri perfileman tempatan sudah lama mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak antaranya studio produksi, pihak pawagam, pelakon, kru, pelabur dan peminat.

“Hingga awal bulan ini, sebanyak 43 filem sudah diterbitkan pelbagai produksi di Malaysia. Malah, ada antara filem itu mendapat pulangan Gross Box-Office (GBO) yang baik berikutan sokongan penonton.

“HKL adalah salah satu filem yang melangkau jangkaan sekali gus berjaya mencipta fenomena tersendiri. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan,” katanya.

Berita Harian X