Rabu, 14 November 2018 | 3:13pm

Zaibo meninggal dunia

BATU PAHAT: Pelakon veteran dan pelawak, Zaibo atau nama sebenarnya, Zainal Ariffin Abd Hamid, 62, meninggal dunia di rumahnya di Rengit, dekat sini kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Berita sedih itu dikongsi oleh anak tirinya, Hafiz, dalam laman sosial Facebook (FB) yang mengesahkan Zaibo meninggal dunia akibat kanser esofagus (Esophageal Cancer) tahap empat yang dikesan sejak September lalu.

“Assalamualaikum, saya Hafiz. Mewakili pihak keluarga Zainal Ariffin bin Abd Hamid atau Zaibo ingin memaklumkan bahawa ayah pergi dijemput Illahi pada jam 1.30 tengah hari ini.

“Mohon doa semua agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan insan terpilih... Aminn,” katanya.

President Yayasan Kebajikan Artis Malaysia (YKAT), Datuk DJ Dave, turut mengesahkan hal berkenaan.

“Saya diberitahu oleh isteri beliau sendiri, Puan Hawa mengenai berita sedih ini. Zaibo meninggal dunia dan akan dikebumikan di Batu Pahat, Johor selepas Isyak malam ini,” katanya.

Isnin lalu, Zaibo sempat menerima kunjungan Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suaminya, Dennis Muhammad Abdullah.

Allahyarham dikesan menghidap penyakit kanser esofagus tahap empat pada 27 Ogos lalu dan pernah menjalani rawatan di Hospital Batu Pahat dan Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor selain dirujuk ke Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya.

Allahyarham popular menerusi watak Pak Selamat dalam sitkom, Spanar Jaya, selain turut berlakon filem Anna & the King.

Berita Harian X