Sabtu, 17 November 2018 | 9:45am
EMERY belajar di sebuah sekolah khas di Manchester. Foto: Instagram Edry KRU

Cikgu puji perkembangan anak Edry

KUALA LUMPUR: Komposer, Edry Abdul Halim bersyukur anak ketiganya, Emery, 11, menunjukkan perkembangan positif selepas memulakan sesi pembelajaran di sebuah sekolah khas di Manchester, United Kingdom.

Edry berhijrah ke negara itu sejak Julai lalu bagi mendapatkan pendidikan terbaik buat anaknya yang menghidap autisme.

“Syukur Emery sudah masuk sekolah menengah khas dengan anak istimewa yang lain. Cikgu puji, dia bijak dan cepat sesuaikan diri dengan persekitaran.

“Doakan yang terbaik untuk anak kesayangan saya ini,” katanya dalam satu muat naik di Instagram.


EDRY dan keluarga berhijrah ke Manchester sejak Julai lalu. Foto: Instagram Edry KRU

Edry ketika majlis pengumuman pembubaran KRU pada April lalu memaklumkan, dia berhasrat membawa keluarganya berhijrah bagi memberikan tumpuan kepada perkembangan Emery.

Selepas memperincikan beberapa perkara, dia memilih untuk menetap di Manchaster kerana di sana terdapat sebuah sekolah khas anak autisme.

Edry berkata, mereka sekeluarga berkemungkinan besar menetap di sana selama beberapa tahun untuk melihat perkembangan anaknya itu.

Dia yang mendirikan rumah tangga dengan Milia Mohammed pada November 1999 dikurniakan empat cahaya mata termasuk Emil, 18; Edylia, 15, dan Elya, 8.

Mengenai perkembangan kerjaya seni, Edry kini menumpukan perhatian kepada syarikat produksi apabila melancarkan KRU Entertainment UK Limited yang berpangkalan di Manchester.

Berita Harian X