Ahad, 18 November 2018 | 12:57pm
RUHAINIES yakin Azrel pasti bertemu gadis terbaik yang akan membahagiakannya.

Jangan terburu-buru soal hati - Ruhainies

KUALA LUMPUR: Akur antara mereka lebih serasi sebagai sahabat, pelakon Ruhainies berharap, Azrel Ismail tidak terburu-buru dalam soal mencari pasangan hidup.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas yakin, Azrel pasti bertemu gadis terbaik yang akan membahagiakannya hingga akhir hayat.

“Dalam hidup ini, tidak semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan. Begitu juga dalam hal membabitkan hati dan perasaan.

“Biarpun nanti kami mempunyai haluan hidup masing-masing, saya harap kami akan terus bersahabat. Itu yang saya harapkan.

“Sepanjang mengenalinya, Azrel begitu menyenangkan. Saya harap dia bersabar dan tidak terburu-buru dalam soal hati,” katanya.

Dia yang mengenali Azrel sejak tiga tahun lalu berkata, jejaka itu memiliki keperibadian yang pasti membuatkan ramai selesa mendekatinya.

“Saya beruntung memiliki kawan yang baik sepertinya. Azrel ramai peminat, malah sikapnya itu memang akan membuatkan wanita mudah ‘cair’.

“Dalam bekerja, dia sangat profesional. Pergilah bertanya mana-mana produksi, pasti mereka akan menceritakan banyak perkara positif mengenai Azrel,” katanya.


RUHAINIES kini bahagia bersama Mr E. - Ihsan Ruhainies

Ruhainies yang kini menjalin cinta dengan ahli perniagaan yang menetap di London, Mr E berkata, mereka tiada masalah untuk terus bekerjasama.

Selepas digandingkan dalam drama Menantu Tintong, beberapa tahun lalu, mereka kembali dipertemukan dalam telefilem Salam Manis yang turut menampilkan kakaknya, Risteena Munim dan Jasmin Hamid.

“Ketika di lokasi penggambaran, kami mengutamakan soal kerja. Hal peribadi kami letak ke tepi. Azrel faham dan tidak pernah bertanya mengenai urusan peribadi saya,” katanya.

Ruhainies kini sibuk menjalani penggambaran program travelog, Secawan Kopi terbitan Zeel Production di Indonesia.

Berita Harian X