Selasa, 20 November 2018 | 9:47am
DIA Fadila mendakwa terkena gangguan mistik ketika bertarung di pentas GV5 yang berakhir, Ahad lalu. - Ihsan IG Dia Fadila
DIA Fadila mendakwa terkena gangguan mistik ketika bertarung di pentas GV5 yang berakhir, Ahad lalu. - Ihsan IG Dia Fadila

'Rasa ada benda cengkam kaki'

SHAH ALAM: Naib juara musim kelima Gegar Vaganza (GV5), Dia Fadila mendakwa terkena gangguan mistik sepanjang bertarung di pentas program realiti itu.

Biarpun pada mulanya enggan percaya apa yang dialami, Dia, 34, mendedahkan beberapa kejadian pelik seperti kaki dicengkam selain calar pada bahagian paha dan lengan hingga menjejaskan tumpuannya ketika beraksi.

Dia atau nama sebenarnya, Nur Fardilla Nadia Abu Bakar berkata, dia terpaksa menerima apa yang dikatakan gangguan mistik itu selepas mendapatkan rawatan alternatif daripada seorang ustaz.

“Sebelum ini, ada rakan artis berpesan agar saya mendapatkan pendinding bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Bagaimanapun, ketika itu, saya tak berhasrat berbuat demikian kerana tidak percaya perkara seumpama itu akan berlaku, apatah lagi sedar diri ini tidaklah sepopular mana.

“Namun, pada minggu saya dikehendaki menyanyikan lagu tradisional, gangguan mula berlaku.

“Saya bukan sahaja hilang fokus, malah berlaku kecederaan fizikal apabila ada kesan cakar pada lengan dan paha. Telinga saya juga berdarah,” katanya kepada BH Online.

DIA (kiri) diumumkan naib juara. Edisi kelima GV dimenangi Noryn Aziz manakala Zamani menduduki tempat ketiga. - Ihsan IG Dia Fadila
DIA (kiri) diumumkan naib juara. Edisi kelima GV dimenangi Noryn Aziz manakala Zamani menduduki tempat ketiga. - Ihsan IG Dia Fadila

Pada pentas akhir GV5, Ahad lalu, Noryn Aziz diumumkan juara dan menerima hadiah trofi dan wang tunai bernilai RM100,000.

Lebih mengerikan, dakwa Dia, dirinya ‘diganggu’ ketika sedang menyanyi di pentas.

“Pernah berlaku kaki saya rasa seperti dicengkam dengan kuat hingga menyukarkan pergerakan.

“Kalau ada yang perasan, aksi saya menghentak kaki ketika menyanyi bukanlah gaya persembahan, sebaliknya saya berbuat demikian kerana tidak selesa dicengkam,” katanya.

Tambah Dia yang popular dengan lagu Andai dan Aku Masih Setia, dirinya hampir mengalah daripada meneruskan perjuangan di pentas GV5 kerana tidak tahan ‘diganggu’.

“Apabila saya menunjukkan foto bahagian tubuh yang ada kesan cakar kepada produksi, mereka terkejut.

“Pihak produksi beritahu selama ini mereka hanya mendengar cerita tanpa ada bukti. Lalu mereka menasihatkan saya mendapatkan rawatan,” katanya.

Mengenai perancangannya selepas GV5, selain menghasilkan single baharu, Dia bercadang bekerjasama dengan Ernie Zakri untuk menganjurkan bengkel vokal bergerak.

“Siapa saja boleh sertai bengkel ini. Dengan sedikit ilmu dan pengalaman yang saya timba ketika menyertai GV5, saya mahu kongsi bersama.

“Manalah tahu ada artis lain yang mahu sertai GV6, boleh datang ke bengkel ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X