Rabu, 21 November 2018 | 1:08pm
PENYANYI, Black dan Tomok bakal menggegarkan Dewan Fiharmonik Petronas sempena ulang tahun ke-20 DFP. - Foto Rohanis Shukri
PENYANYI, Black dan Tomok bakal menggegarkan Dewan Fiharmonik Petronas sempena ulang tahun ke-20 DFP. - Foto Rohanis Shukri

'Tak sangka tiket hampir habis'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tomok dan Black Hanifah, tidak menyangka tiket persembahan mereka di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 November ini hampir habis disambar peminat.

Menurut Tomok, dia dimaklumkan 98 peratus tiket konsert Tomok vs Black - In The Spotlight di pentas prestij berkenaan sudah dijual.

“Saya memang teruja menantikan detik persembahan sulung kami di DFP diadakan. Lebih mengujakan apabila tiketnya hampir habis dijual.

“Ia sesuatu di luar jangkaan kami berdua. Namun, sokongan peminat itu tentu sahaja membuatkan kami lebih bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik,” kata Tomok atau nama penuhnya Shah Indrawan Ismail, 34, pada sidang media konsert terbabit, di sini.

Bercerita lanjut mengenai persembahan mereka, Tomok menjanjikan kejutan buat peminat yang bakal hadir menyaksikan persembahan itu nanti.

“Saya dan Black sudah hampir 10 tahun berkawan dan pastinya kami takkan mempersiakan peluang keemasan dihulurkan ini. Kami tahu, bukan semua artis berpeluang mengadakan persembahan di pentas gah seperti DFP.

“Pada konsert itu nanti, saya dan Black akan bergilir-gilir mengadakan persembahan secara solo, selain berduet. Kami pula tidaklah menggunakan pentas itu untuk berlawan vokal, sebaliknya cuba mengimbangi konsert sebaik mungkin,” kata penyanyi yang baru saja muncul dengan single kontroversi, Bekas Kekasih.

Sementara itu, Black, 30, mengakui sudah lama menyimpan impian untuk beraksi di pentas berprestij berkenaan.

“Siapa sangka, impian saya ketika mula-mula menjadi penyanyi dulu kini tercapai? Lebih manis, saya akan berkongsi pentas dengan Tomok,” kata penyanyi yang baru-baru ini muncul dengan single terbaru berjudul Pokpet.

Kata Black, dia dan Tomok turut memberikan tumpuan pada penjagaan kesihatan serta stamina demi persembahan terbabit.

“Saya sendiri kerap bersenam di gimnasium, selain berlari sejauh 5 kilometer setiap hari bagi memastikan stamina terjaga,” kata Black.

Konsert gabungan dua penyanyi berimej botak itu adalah sebahagian daripada siri persembahan anjuran DFP yang memberi peluang kepada artis muda tempatan berkongsi bakat di pentas idaman ramai terbabit.

Sebelum ini, slot sama pernah diisi oleh Faizal Tahir, Hujan, Yuna, Najwa, Aizat Amdan, Hafiz dan Dayang Nurfaizah.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket, mereka boleh berbuat demikian dengan melayari www.mpo.com.my.

Berita Harian X