Rabu, 21 November 2018 | 3:47pm
RALINE terpaksa naikkan lima kilogram berat badan untuk membintangi Polis Evo 2. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Raline kena 'paksa' naikkan berat badan

Raline kena ‘paksa’ naikkan berat badan

Oleh Farhana Ab Rahman

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia, Raline Shah terpaksa menaikkan berat badan, selain memasuki kelas seni mempertahankan diri untuk menjayakan watak polis dalam filem Polis Evo 2.

Raline, 33, berkata, pengarah memintanya supaya menaikkan lima kilogram berat badan untuk disesuaikan dengan tuntutan karakter Rian.

“Pengarah berkata, tubuh saya kelihatan terlalu kurus di dalam kamera dan tidak sesuai sebagai anggota polis.

Selain itu, saya juga perlu membiasakan diri memegang senjata api supaya tidak kekok di depan kamera.

“Biarpun babak aksi itu dipotong ketika suntingan akhir, saya tidak ralat. Saya berbesar menjayakan filem ini, meskipun terpaksa menolak beberapa tawaran lain,” katanya.

Pelakon yang terkenal menerusi filem Surga Yang Tak Dirindukan 1 dan 2 itu berkata, dia teruja sepanjang menjayakan produksi itu kerana mereka bekerja umpama sebuah keluarga yang besar.

Selain itu katanya, dua pelakon utama iaitu Shaheizy Sam dan Zizan Razak juga banyak membantu, membuatkan dia selesa sepanjang penggambaran berlangsung.

“Mungkin kerana penggambaran filem ini memakan masa lama iaitu hampir dua tahun, kami menjadi sangat akrab.

“Saya juga rapat dengan sebuah keluarga ketika kami menjalani penggambaran di Kuantan, Pahang. Apabila sudah sering bertemu, kami rapat dan saya sudah anggap mereka seperti keluarga sendiri,” katanya.

Filem terbitan Astro Shaw Sdn Bhd itu turut membariskan pelakon seperti Erra Fazira, Hasnul Rahmat, Hairul Azreen, Soffi Jikan dan Syafie Naswip.

Berita Harian X