Rabu, 21 November 2018 | 5:47pm
ONE (kanan) mengakui sempat memujuk Izzue supaya terus bersama Forteen, tetapi tidak diendahkan. - Foto Owee Ah Chun
ONE sudah kering air mata memikirkan kemelut terbaru yang melanda Forteen. - Foto NSTP

Isu pertukaran lagu punca perbalahan Izzue Islam, Forteen

SHAH ALAM: Kemelut pengunduran Izzue Islam daripada kumpulan Forteen terjawab apabila ahlinya, One mendedahkan, perbalahan berkaitan isu pertukaran lagu tanpa perbincangan membuatkan penyanyi itu berkecil hati.

One berkata, kejadian itu berlaku ketika Forteen menjayakan Parti Gegar Vaganza pada 15 November lalu apabila Izzue terkejut lagu yang dipersembahkan tidak seperti dirancang.

“Izzue mempersoalkan perkara itu di depan pihak produksi dan seterusnya beredar, tanpa mahu mendengar penjelasan kami.

“Ketika itu, kami memang terasa dengan tindakannya. Tidak sangka pula tiga hari selepas itu, dia membuat pengumuman keluar daripada Forteen,” katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Ahad lalu, Izzue mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya daripada Forteen pada segmen karpet merah final Gegar Vaganza musim kelima (GV5) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Keputusannya itu bukan hanya mengejutkan peminat, malah menimbulkan persoalan kepada anggota kumpulan itu.

Tambah One, dia sempat memujuk Izzue supaya memikirkan semula keputusannya itu, tetapi tidak diendahkan.

One berkata, dia sedih dan menangis dengan apa yang berlaku memandangkan sudah tujuh tahun mereka bersama.

"Perkara ini boleh dibawa berbincang. Saya siap cakap dengan nada yang lembut dan meminta maaf, tetapi dia memberi isyarat tangan tanda menolak.

"Sedih? Sudah kering air mata saya. Selalunya kalau timbul sesuatu isu, kami akan beri ruang seketika, seterusnya berbincang. Tetapi, kali ini lain pula jadinya.

"Bagi saya, semua ini berpunca daripada ego dan saya sudah memohon maaf. Terfikir juga, adakah dengan melutut baru dia akan maafkan kami?" soalnya.

Forteen yang ditubuhkan pada 2011 kini dianggotai One, Ameerais dan Ariz Lufias. Mereka yang pernah bernaung di bawah KRU Music popular dengan lagu Berdua Bersatu, Kita dan Dekat Tapi Jauh.

Berita Harian X