Jumaat, 23 November 2018 | 5:32pm
NAJWA Latif

Tugas pensyarah tak halang Najwa menyanyi

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Najwa Latif, 23, belum terfikir untuk meletakkan titik noktah pada kerjaya nyanyian walaupun sudah bergelar pensyarah sejak Februari lalu.

Bertugas di UNITAR International University (UNITAR), penyanyi yang mula dikenali pada 2012 dengan lagu Cinta Muka Buku itu mengajar subjek Bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi terbabit.

Kata Najwa, mungkin ramai peminat menganggap dirinya mula menyepikan diri daripada dunia seni berikutan jarang lagi muncul di kaca televisyen mahupun radio.

“Saya tidak nafikan, ada peminat bertanyakan mengenai status kerjaya seni saya ketika ini. Untuk pengetahuan mereka, saya masih menyanyi dan undangan mengadakan persembahan juga diterima seperti biasa. Malah, setiap bulan ada sahaja jemputan yang saya penuhi.

“Saya juga masih aktif menghasilkan lagu. Kira-kira lapan bulan lalu, saya tampil dengan single ciptaan sendiri berjudul Jauh, manakala liriknya hasil tulisan kakak saya, Syafiqah. Alhamdulillah, sambutan yang diterima tetap positif.

“Pada bulan depan pula saya akan merakamkan single baharu diberi judul KLIA (Kau Lupa Itu Aku). Ia sebuah lagi karya hasil ciptaan kami berdua,” katanya kepada BH Online.

Enam tahun membabitkan diri dalam seni suara, Najwa akui populariti bukan lagi keutamaan dirinya.

“Pada usia sekarang, saya tidak lagi mengejar populariti. Meskipun nama saya mungkin tidak lagi sehangat dulu, namun saya gembira dengan kehidupan dilalui kini.

“Fokus utama saya saat ini adalah pada keluarga, pelajaran dan diri sendiri. Selebihnya, saya serahkan pada ketentuan rezeki.

“Jujurnya saya gembira dengan kehidupan sekarang. Selain menyanyi dan bekerja sebagai pensyarah, saya juga menyambung pengajian pada peringkat sarjana dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaya,” katanya.

Menurut Najwa, dia turut memasang impian menyambung pengajiannya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan sama.

“Apatah lagi, memang sejak dulu saya bercita-cita untuk menjadi pensyarah Bahasa Inggeris,” katanya.

Berita Harian X