Sabtu, 24 November 2018 | 3:26pm
IZZUE Islam (dua dari kiri) bersama Ariz, Ameerais dan One. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON dan penyanyi, Izzue Islam, nekad untuk membawa haluan sendiri dalam seni. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sudah berbaik, Izzue tetap keluar Forteen

Kemelut antara Izzue Islam dan anggota kumpulan Forteen nampaknya berakhir dengan momen indah selepas mereka bersemuka semalam menerusi segmen Suria Petang secara langsung di stesen radio Suria FM.

Izzue berkata, dia bersyukur perselisihan faham itu diselesaikan segera dan pada masa sama lega dapat merungkai beberapa persoalan mengenai rasa tidak puas hatinya tempoh hari.

"Saya bersyukur kami dipertemukan di sini untuk memulihkan keadaan. Masing-masing sudah meluahkan rasa tidak puas hati.

"Walaupun masih ada beberapa perkara yang belum selesai, yang penting beberapa perkara dan persoalan sudah dirungkai," katanya.

Menerusi segmen terbabit, pertemuan di antara Izzue dan Forteen ibaran sebuah drama apabila masing-masing berpelukan dan menangis sejurus selesai ditemubual.

Berita ini pasti akan menggembirakan peminat Forteen, namun Izzu berkata, dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak lagi bersama dengan kumpulan itu.

"Saya masih lagi tetap dengan pendirian sebelum ini. Saya fikir ini adalah jalan yang terbaik agar kami tidak lagi berselisih faham dan kekal berbaik.

"Apa-apapun, doakan saya dan anggota Forteen yang lain berjaya di bidang kerja masing-masing," tuturnya.

Ahad lalu, Izzue mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya daripada Forteen pada segmen karpet merah final Gegar Vaganza musim kelima (GV5) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dan sepanjang seminggu ini masing-masing berbalas kenyataan mengenai isu itu dan puncanya hanyalah perbalahan berkaitan isu pertukaran lagu tanpa perbincangan dengan Izzue.

Selepas Izzue mengundur diri, Forteen kini dianggotai oleh One, Ariz Lufias dan Ameerais.

Berita Harian X