Isnin, 26 November 2018 | 9:51pm
WANY berkongsi kenangan beraksi di minggu ketiga peringkat separuh akhir Muzik Muzik 33 (SFMM33), Jumaat lalu di Instagram. Pada saingan itu, lagu dendangannya, Rintihan Rindu gagal menempah tiket ke AJL33. - Foto IG Wany Hasrita

Ubah sedih jadi positif

KUALA LUMPUR: Kegagalan lagu Rintihan Rindu mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 membawa kesedaran terhadap penyanyi Wany Hasrita yang mengaku fobia dengan pertandingan selepas menyertai acara sama, tahun lalu.

Wany, 25, memberitahu, rasa sedih sebaik menyedari lagu itu gagal menempah tiket ke AJL33 diterima positif dengan tekad mencuba lagi.

“Apabila saya pergi ke belakang pentas selepas keputusan diumumkan, terpandang wajah ibu dan komposer, saya sangat sedih.

“Walaupun mereka faham dan tidak menekan saya dengan meletakkan harapan tinggi, namun rasa hampa tetap ada kerana gagal penuhi impian mereka.

“Selepas AJL32, saya fobia dengan pertandingan. Namun, apabila saya sedih lagu gagal ke final, saya anggap ia petanda positif untuk saya terus bersaing,” katanya kepada BH Online.

Jumaat lalu, Wany tampil memberi saingan di minggu ketiga peringkat separuh akhir Muzik Muzik 33 (SFMM33) namun lagu dendangannya, Rintihan Rindu gagal tercalon ke final acara anugerah berprestij itu.

Ditanya apa yang membuatkan lagu ciptaan Ibnu dan Gouffran itu tidak berjaya, Wany atau nama penuhnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah menganggap ia bukan rezeki mereka.

“Daripada apa yang saya fikir, lagu Menahan Rindu lebih kuat jika dibandingkan dengan Rintihan Rindu.

“Bukan rezeki lagu ini... Cuma sebagai penyanyi, saya dapat rasakan ada peningkatan apabila membuat persembahan di peringkat separuh akhir kali ini, berbanding dulu.

“Ketika beraksi, saya beroleh pengalaman baharu apabila menyanyi dengan menggunakan pemegang mikrofon tanpa perlu mencabutnya,” katanya.

Penyandang trofi Bintang Paling Popular BH (ABPBH) Ke-31 ini memberitahu dia sedang dalam proses mencari material untuk projek single terbarunya.

Berita Harian X