Selasa, 27 November 2018 | 2:05pm
MODEL Amerika Syarikat, Bella Hadid, ketika menghadiri acara sesi bertemu peminat di The Gardens Mall. - Foto Aziah Azmee

Bella Hadid ikut Lofa di Instagram

KUALA LUMPUR: Neelofa menjadi satu-satunya selebriti tempatan yang diikuti model terkenal antarabangsa, Bella Hadid, di Instagram selepas pertemuan mereka, malam tadi.

Hos dan pelakon terbabit diundang ke majlis makan malam anjuran pengeluar jam tangan mewah di sebuah hotel terkemuka bersama Hadid, 22, selaku duta jenama itu.

Menerusi sebuah video yang kini tular, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor, 29, itu dilihat mengajar model berasal dari Los Angeles berkenaan cara menikmati nasi lemak.

PELAKON dan pengacara, Neelofa, sewaktu menghadiri pelancaran model terbaru sebuah jenama telefon pintar di ibu kota. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Selain Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa, beberapa selebriti tempatan turut memeriahkan acara berkenaan termasuk Scha Alyahya, Puteri Aishah dan artis Indonesia, Maia Estianty.

Semalam, perkongsiannya di ruangan IG Story Instagram mencetuskan keterujaan peminat Malaysia sebaik sahaja mengetahui idola mereka terbang ke sini.

Difahamkan, Hadid sempat memperuntukkan masa bercuti bersama kekasihnya, The Weeknd, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur bersempena pelancaran produk baharu di bawah jenama yang diwakilinya.

“Saya datang untuk anda, Kuala Lumpur. Tidak sabar untuk melihat negara anda yang indah,” katanya yang disertai gambar latar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam semalam.

BELLA bersama sebahagian peminat di The Gardens Mall. - Foto Aziah Azmee

Menerusi perkongsian lain di IG story, dia turut menyiarkan sebuah video pendek pandangan daripada bilik hotelnya yang dipercayai di KL Sentral.

Kira-kira lapan jam lalu, peragawati tinggi lampai itu turut memuat naik gambarnya di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebelum terbang ke destinasi seterusnya.

Sementara itu, Hadid yang mempunyai 21.3 juta pengikut Instagram hanya mengikuti 274 orang di laman sama setakat hari ini, dengan kebanyakannya adalah anggota keluarga dan rakan karib, selain personaliti seperti Erykah Badu, Lorde dan Will Smith.

Berita Harian X