Rabu, 28 November 2018 | 2:36pm
Kumpulan Forteen ketika menyertai musim kelima Gegar Vaganza (GV5). Mendakwa sudah berdamai, empat sahabat ini meminta peminat usah mengeruhkan lagi keadaan termasuk menuduh mereka sengaja mencetuskan gimik bagi meraih perhatian. - Foto IG Forteen Official

'Cukuplah... kami dah berdamai'

KUALA LUMPUR: ‘Panas’ akibat kontroversi yang menghambat, ahli kumpulan Forteen menolak dakwaan sengaja mencipta kisah sensasi demi meraih perhatian.

Salah seorang anggota kumpulan itu, One atau nama sebenarnya, Muhammad Ridzuan Sharifuddin menegaskan perselisihan faham mereka bukanlah disengajakan.

“Kami tahu sampai sekarang masih ada segelintir pihak yang mengecam Forteen berhubung isu perselisihan faham. Sebenarnya, kami sudah pun berbaik, jadi kita tolonglah ‘move on’ (teruskan seperti biasa).

“Jangan keruhkan lagi dengan dakwaan tanpa asas. Kalau tuduh air mata atau kesedihan kami adalah palsu, perkara itu masih kami diamkan.

“Namun, apabila mengaitkannya dengan sebagai gimik untuk pelancaran lagu baharu, itu tuduhan berat. Kalau betul di mana lagu itu?

“Soal kesedihan kami pula, apa yang berlaku bukanlah sesi uji bakat. Saya bukan jenis yang pandai berlakon. Sudah-sudahlah sebab kami sudah berdamai,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Forteen mencetuskan kontroversi apabila Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 28, mengumumkan membawa haluan sendiri dan meninggalkan band berkenaan.

Namun, Izzue dan tiga ahli Forteen iaitu One, Amer dan Ariz mengumumkan sudah menyelesaikan masalah selepas bertemu dalam sebuah majlis, minggu lalu.

Biarpun persahabatan mereka kembali jernih, Izzue yang semakin aktif menjadi pengacara, tidak berganjak dengan keputusannya bergerak solo.

Ditanya hubungan mereka dengan Izzue, Amer pula berkata, mereka sudah seperti dulu namun terus berhubung biarpun terikat dengan komitmen berbeza.

Tambah penyanyi itu, adat bagi kumpulan yang sudah dianggap seperti adik beradik, apabila timbulnya rajuk dan salah faham, pasti ada yang terguris.

“Syukur, ini ujian kami. Namun, apa pun berlaku kami tetap sahabat selama-lamanya. Paling penting, persahabatan ini terus erat.

“Soal Izzue bergerak sendiri, itu sudah dibincangkan. Masing-masing memberi masa andai dia mahu kembali, kami terima dengan hati terbuka.

“Berkenaan lagu pula, single baharu hampir 90 peratus siap. Jika tiada aral, kami mahu melancarkannya paling cepat, bulan depan.

“Biarlah apa orang nak kata. Ini kerana hebahan mengenai single berkenaan sudah kami kongsi sejak beberapa bulan lalu. Cuma pelancaran yang dirancang selepas musim kelima Gegar Vaganza (GV5), terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Berita Harian X