Rabu, 28 November 2018 | 5:00pm
SITI Nurhaliza menyempurnakan majlis pelancaran Kempen Simplysiti Di Hati 2018 bagi membantu kanak-kanak penghidap sakit jantung yang tidak berkemampuan membiayai kos perubatan di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Siti lancar kempen bantu pesakit jantung

KUALA LUMPUR: Tiga kanak-kanak pesakit jantung termasuk bayi berusia 10 bulan bakal menjadi kumpulan penerima pertama derma rakyat Malaysia melalui inisiatif SimplySiti di Hati 2018 yang digerakkan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Sumbangan itu membolehkan bayi lelaki, Lam Zhe Yi yang berusia 10 bulan, Muhammad Firas Adib Mohamad Zaki berumur empat tahun dan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, T Mahaani menjalani pembedahan yang dianggarkan membabitkan kos RM105,000.

Penyanyi Cindai itu melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) meraih sumbangan untuk pesakit jantung dengan kerjasama Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Turut hadir di majlis itu, Pengerusi Yayasan IJN, Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur.


SITI Nurhaliza (empat dari kiri) bersama-sama Pengerusi Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur (tiga kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Simplysiti & Creacion, Azuddin Rahman (kiri) pada majlis pelancaran Kempen Simplysiti Di Hati 2018 bagi membantu kanak-kanak penghidap sakit jantung yang tidak berkemampuan membiayai kos perubatan di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Siti memberitahu, kempen SimplySiti di Hati 2018 yang bermula bulan depan, berkonsepkan membeli barangan sambil menderma.

“Dengan setiap pembelian rangkaian produk SimplySiti melebihi RM100, sebanyak RM5 akan disalurkan kepada Yayasan IJN.

“Bagi menjayakan kempen ini, saya juga turun padang ke cawangan butik Creacion X SimplySiti dan Watsons terpilih pada Sabtu dan Ahad ini, disusuli Selasa depan.

“Saya mengajak orang ramai sama-sama menyertai kempen ini bagi meringankan beban keluarga kanak-kanak terbabit,” katanya.

Siti berkata, kempen SimplySiti di Hati dilancarkan sejak 2011 dan sudah membiayai kos pembedahan 11 kanak-kanak pesakit jantung daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Dalam mengharungi hidup ini ada suka dan duka. Rezeki yang dimiliki tidak salah jika kita berkongsi sedikit untuk golongan memerlukan.

“Sebagai ibu, saya gembira dapat membantu kanak-kanak ini. Apatah lagi, anak kita adalah generasi masa depan, bukan saja untuk keluarga tetapi agama, bangsa dan negara.

“Saya mendoakan proses ini lancar dan semua kanak-kanak yang bakal menjalani pembedahan diberi kesembuhan,” kata ibu kepada Siti Aafiyah ini.

Berita Harian X