Khamis, 29 November 2018 | 9:40am
Diana Danielle teruja menantikan reaksi peminat terhadap single baharu, Infiniti yang dirakam bersama Reyza dan NeonSoul. - Foto IG Diana Danielle

Diana Danielle mahu aktif menyanyi tahun hadapan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datin Diana Danielle semakin serius mendalami bidang muzik apabila aktif merakamkan lagu ciptaan sendiri selain mendapatkan khidmat guru vokal bagi memantapkan mutu nyanyian.

Diana memberitahu, minat terhadap seni persembahan sejak zaman kanak-kanak tidak akan dipersia-siakan, malah merancang memberi tumpuan penuh kepada muzik mulai 2019.

“Sebenarnya, sejak kecil saya lebih suka menyanyi. Ini kerana saya didedahkan dengan dunia muzik dan persembahan langsung seawal usia 10 tahun.

“Saya boleh bermain biola selain pernah terbabit dalam beberapa siri konsert termasuk di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Daripada situ, minat menyanyi bertambah subur.

“Cuma rezeki lebih terbuka dalam bidang lakonan. Namun, selepas menghasilkan lagu sendiri beberapa tahun lalu, saya nekad meneruskan minat itu,” katanya kepada BH Online.

Diana berkata, dia mendapat bimbingan dua guru vokal iaitu Idayu dan Sarah Ismail bagi meningkatkan kemahiran melontarkan suara.

Mengenai pelancaran single duet bersama penyanyi Singapura, Reyza Hamizan dan NeonSoul, Diana berkata, lagu berjudul Infiniti itu disiapkan, tiga tahun lalu.

“Namun, single itu hanya dilancarkan kelmarin disebabkan Reyza dan NeonSoul mementingkan kesempurnaan.

“Kami sudah kenal lama. Kami menjalani proses rakaman sebanyak tiga kali kerana faktor berbeza. Lucu juga mengenangkan perkara itu tetapi hasilnya memuaskan hati.

“Apabila dipelawa berpadu suara, ditambah pula dengan diiringi NeonSoul yang mempunyai lebih enam tahun pengalaman, tentu saja saya tidak melepaskan peluang ini,” katanya.

Diana berkata, Reyza banyak memberi sokongan untuk dirinya berani berkarya.

“Reyza juga mahu saya percaya kemampuan sendiri,” katanya yang merancang merealisasikan pembikinan album penuh tahun depan.

Sejak 2009, Diana tampil sebagai penyanyi lagu runut drama dan filem selain menghasilkan single berjudul Tentang Kita, dua tahun lalu.

Berita Harian X