Jumaat, 30 November 2018 | 10:17am
KUMPULAN UNIC kini cuba mempelbagaikan penampilan mereka. - Foto: NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
KUMPULAN UNIC kini cuba mempelbagaikan penampilan mereka. - Foto: NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

UNIC rai ulang tahun ke-17 dengan konsert amal

KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid popular, UNIC, memilih untuk meraikan ulang tahun ke-17 penubuhan mereka dengan mengadakan konsert amal di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, pada 7 Disember ini.

Diberi nama Konsert Ainul Mardhiah - Gelora Bintang Syurga, sebahagian hasil kutipan tiket persembahan berkenaan akan dihulurkan kepada pesakit kanser kanak-kanak di wad pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL); pusat tahfiz anak autisme Yayasan Al Faqeh dan Unit Kebajikan Hal Ehwal Pelajar, UPSI.

“Sempena bulan keputeraan Nabi Muhammad, lazimnya konsert Maulidur Rasul yang diadakan. Begitupun, kami mahu meraikan ulang tahun ke-17 UNIC dengan kerjasama UPSI. Ia akan mengimbas perjalanan kami sejak dulu hingga sekarang,” kata anggota, Fakhrul, ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Selain Fakhrul atau nama penuhnya Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, kumpulan yang dikenali dengan lagu Hanya Tuhan Yang Tahu itu juga dianggotai oleh Bazli Hazwan dan Wan Najdi Wan Mohd Noh.

Berkongsi mengenai persembahan mereka, Fakhrul berkata, kumpulan terbabit akan mendendangkan 15 lagu dalam konsert selama dua jam itu.

“Selain itu, diselitkan juga persembahan teater. Pendek kata, kami juga akan berlakon selain menyanyi,” katanya sambil memaklumkan, tiket yang dijual pada harga RM20 hingga RM150 boleh dibeli dengan merujuk kepada Instagram @unicofficials.

Sementara itu, anggota kumpulan berkenaan mahu terus kekal relevan dalam industri muzik, seiring dengan peredaran masa, dengan mempelbagaikan imej atau penampilan mereka.

Tidak lagi terbatas pada pemakaian baju Melayu mahupun kurta, tiga lelaki ini turut selesa untuk bergaya santai.

Bersama imej berkenaan, tidak kurang peminat yang menganggap gaya mereka lebih ‘hipster’ dan sama seperti penyanyi bukan daripada jalur muzik nasyid.

“Selepas menang Gema Gegar Vaganza musim pertama, kami perlahan-lahan cuba menukar gaya pemakaian. Memang ada yang memanggil kami budak ‘hipster’ selepas bertukar gaya, begitu juga ada yang tidak boleh menerima perubahan ini, selain mengecam tindakan terbabit.

“Namun, lama-kelamaan, kecaman yang diterima semakin kurang. Bagi kami, soal pemakaian terlalu subjektif. Contohnya, bagi fotografi kali ini, kami tampil santai dengan jeans dan kemeja T. Namun, jika ada undangan persembahan di sekolah, kami sesuaikan keadaan dengan memakai pakaian lebih sesuai, seperti kurta.

“Untuk persembahan tertutup atau majlis korporat pula, kami ada juga menggayakan kot atau tuksedo. Bagi kami, perubahan cara pemakaian lebih kepada mempelbagaikan penampilan. Kita memakai baju mengikut kesesuaian majlis,” katanya.

Kata Fakhrul lagi, irama nasyid tidak menghalang seseorang untuk turut berasa riang.

“Apa yang penting, mesej yang mahu disampaikan dalam sesebuah lagu itu sampai kepada pendengar,” kata Fakhrul sambil berharap, perubahan ditonjolkan mereka mampu menarik perhatian golongan peminat lebih muda.

Berita Harian X