Jumaat, 30 November 2018 | 5:28pm
PELAKON baharu, Syifa Melvin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Jangan selesa main kayu tiga! - Syifa Melvin

KUALA LUMPUR: Menjadikan kisah percintaannya sebagai pengajaran kepada golongan wanita, bakat baharu, Syifa Melvin, tidak mahu jejaka di luar sana selesa bermain kayu tiga.

Adik kepada pelakon, Syatilla Melvin itu berkata, dia tidak menyangka perkongsian yang dibuatnya beberapa bulan lalu menjadi tular dalam sekelip mata.

“Saya sebenarnya tidak mahu membuka pekung sendiri, tetapi mengambil pendekatan untuk berkongsi kisah peribadi kepada umum kerana tidak mahu golongan wanita terus menjadi mangsa penipuan. Mereka kena buka mata dan bertindak apabila menyedari diri ditipu.

“Bukan apa, ramai wanita yang menjadi mangsa penipuan, namun tetap menutup sebelah mata atas alasan rasa sayang,” katanya kepada BH Online sambil menegaskan, dia bukan membuat pendedahan itu bagi menempa populariti dalam tempoh singkat.

Terdahulu, perkongsian yang dibuat Syifa membongkarkan kecurangan bekas teman lelakinya mendapat perhatian ramai.

Terkini, Syifa membintangi drama bersiri lima episod berjudul #siscuba bersama-sama Nabila Razali dan Sarah Suhairi selalu teraju utama.


BINTANG #siscuba, dari kiri, Sarah Suhairi, Syifa Melvin, Aiman Hakim Ridza dan Nabila Razali pada sesi ramah mesra di Balai Berita. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Katanya, pertaruhan sulung dalam drama tajaan Sunsilk siaran TV3 dan ntv7 itu adalah atas usahanya sendiri dan tidak sesekali menggunakan nama kakaknya yang terlebih dulu mencipta nama dalam industri seni.

“Watak lakonan saya dalam drama itu sebenarnya tidak banyak bezanya dengan diri sendiri. Saya cuma berharap penonton dapat menerima gandingan kami bertiga dalam drama yang mengangkat tema persahabatan ini,” katanya.

Ditanya apakah dia tidak teringin untuk berlakon dengan kakaknya, Syifa berkata, lebih baik sekiranya mereka tidak berbuat begitu.

“Kalau saya dan Tilla berlakon bersama, takut nanti kerja tidak jalan pula. Kami lima beradik memang rapat dan suka bergurau senda, apatah lagi semuanya perempuan,” kata Syifa.

Berita Harian X