Sabtu, 8 Disember 2018 | 3:43pm
GAMBARA kiri; Tania bersama kakaknya, Natasha Hudson pada majlis akah nikah pelakon berkenaan di Kota Bharu, malam tadi. - Foto ihsan Instagram Tania Hudson

Natasha Hudson kahwin kali keempat

KUALA LUMPUR: Pelakon, Natasha Hudson, 36, dikhabarkan selamat berkahwin buat kali keempat dengan seorang usahawan dari Kelantan, Noor Nashriq Sekarnor, malam tadi.

Pasangan itu diijab kabul pada jam 8.30 malam dalam majlis sederhana di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah adik Natasha, Tania Hudson, yang memuat naik gambar bersama kakaknya di laman sosial Instagram.

“Kepada kakakku yang cantik, saya akan sentiasa berada di sisimu tanpa mengira apa pun, walaupun kadang-kadang saya boleh hilang akal,” katanya menerusi Instagram Story yang dimuat naik, semalam.

Sekitar Oktober lalu, Natasha membuat pengakuan sudah berpisah dengan suami ketiganya yang juga bekas penyanyi hip hop, Carleed Khaza atau nama lengkapnya Khalid Kamal, tanpa menyatakan tarikh sebenar perceraian mereka.

Natasha dan Carleed mendirikan rumah tangga pada 15 April 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Naeema Kalila, 5, dan Faatimah, 3.

Sebelum itu, pada 2006, Natasha berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih, namun rumah tangga mereka hanya bertahan empat bulan.

Kemudian, perkahwinan bersama Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 juga tidak berpanjangan apabila hanya bertahan selama dua tahun. Hasil perkahwinan keduanya itu, Natasha dan Shahrin dikurniakan seorang anak perempuan, Neesa Helena, 10.

Berita Harian X