Sabtu, 8 Disember 2018 | 6:35pm
PELAKON, Tania Hudson. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Jagalah rumah tangga sendiri! - Tania Hudson

KUALA LUMPUR: Pelakon, Tania Hudson, mempertahankan kakaknya yang diserang bertubi-tubi oleh netizen apabila gambar sekitar majlis pernikahan kali keempat Natasha dengan seorang usahawan dari Kelantan, Noor Nashriq Sekarnor, tersebar.

Bintang KL Special Force itu turut menyelar pihak yang mempersoalkan pemakaian purdah dan perkahwinan terdahulu Natasha.

Bagi Tania, 33, netizen tidak layak untuk menghakimi seseorang tanpa mengetahui kisah sebenar.

“Kepada makcik dan pakcik bawang, orang berpurdah atau tidak, (anda) tak perlu menjaga tepi kain orang. Cermin dan ubah diri sendiri kerana apa yang penting adalah hati dan peribadi seseorang itu.

“Jangan masuk campur mengenai perceraian atau perkahwinan, sebaliknya jagalah rumah tangga sendiri. Saya pasti, perkahwinan anda juga tidak sempurna. Malah, agama mendidik kita untuk membantu orang ke jalan yang benar dan bukan menjatuhkan orang sahaja.

“Kita perlu menilai diri sendiri kerana tiada sesiapa yang sempurna di dunia ini. Media sosial bukanlah tempat untuk mengaibkan dan mencari keburukan orang. Jangan gunakan ia untuk melukakan hati sesiapa, sebaliknya gunakan ia dengan sebaiknya. Selamat berhujung minggu,” luah Tania.

Malah, Tania membidas sikap segelintir pihak yang meletakkan hukum dengan begitu mudah, seumpama mereka begitu mengenali Natasha dan bekas suaminya.

“Tidak tahu pula ada yang tidur sekatil dengan kakak dan bekas suaminya sehingga lebih mengetahui hal sebenar. Anda bercakap seolah-olah lebih tahu berbanding individu itu sendiri. Mungkin anda boleh terus bercakap di belakang kami dan memberikan pahala percuma daripada memberikan mesej secara peribadi kepada saya.

“Kasihan melihat anda yang kebosanan sehingga banyak masa terluang untuk menjaga tepi kain orang. Carilah sesuatu yang berfaedah untuk dibuat. Banyakkan berzikir,” tulisnya lagi.

Terdahulu, Tania memuat naik beberapa gambar pada majlis pernikahan Natasha di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di Instagram Story, selain mengucapkan tahniah kepada kakak kesayangannya.


NATASHA dan Tania Hudson sewaktu hadir pada malam Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Sebelum ini, Natasha atau Natasha Liana Hudson 36, yang pernah mengenakan imej berpurdah, mengakui sudah bercerai dengan bekas suami, Carleed Khaza atau Khalid Kamal. Mereka berkahwin pada April 2012.

Sepanjang enam tahun berkahwin, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Naeema Kalila, 5, dan Faatimah, 3 tahun.

Sebelum itu, Natasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006, namun rumah tangga mereka hanya bertahan selama empat bulan.

Pelakon filem Chermin itu kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007. Bagaimanapun rumah tangga mereka hanya bertahan selama dua tahun. Hasil perkongsian hidup, Natasha dan Shahrin dikurniakan cahaya mata perempuan, Neesa Helena, 10.

Berita Harian X