Isnin, 10 Disember 2018 | 11:36am
YUNA terus membuktikan pengaruhnya di pentas antarabangsa menerusi pencapaian terbaru. - Foto Rohanis Shukri

36 juta strim Yuna sepanjang 2018

KUALA LUMPUR: Penyanyi tempatan yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna melakar sejarah tersendiri apabila mengumpul jumlah penstriman mencecah 36 juta menerusi aplikasi muzik, Spotify sepanjang 2018.

Jumlah itu merangkumi pendengar dari 65 negara, sekali gus membuktikan pengaruh pemilik nama lengkap, Yunalis Mat Zarai itu di pentas antarabangsa.

Yuna, 32, menerusi Instagram berterima kepada peminat yang memilih lagu nyanyiannya menemani mereka ketika melakukan pelbagai aktiviti harian.

"Terima kasih kerana memilih muzik saya untuk menemani anda pada lewat malam, ketika mengulangkaji pelajaran, memandu, minum kopi pada waktu pagi, kelas tarian dan selepas berpisah dengan seseorang (saya dapat banyak mesej mengenai perkara ini!),” katanya.

Menerusi entri yang sama, Yuna turut berterima kasih kepada peminat kerana memberi ruang untuk muzik yang dihasilkannya terus ‘bernafas’.

“Ketika mula menghasilkan muzik 10 tahun lalu, ia hanya berkumandang di ruang bilik saya sahaja," katanya yang memiliki enam juta pengikut di aplikasi itu.

Menerusi data Spotify for Artists 2018 Wrapped, lagu nyanyian Yuna turut dimainkan di hampir 80,000 bandar di seluruh dunia.

Malah, lagunya juga didengari kira-kira dua juta pendengar mengikut purata setiap jam.

Pada Disember 2016, Yuna melakar sejarah apabila albumnya, Chapters membolosi carta Billboard. Yuna pernah melancarkan tiga album di AS iaitu Yuna pada 2012, Nocturnal (2013) dan Chapters (2016).

Sebelum ini, lagu duetnya bersama bintang R&B, Usher, Crush pernah menduduki tangga ketiga carta Billboard Adult R&B.

Album itu juga dipilih sebagai 10 album R&B Terbaik sepanjang 2016 bersama penyanyi antarabangsa berprofil tinggi seperti Beyonce Knowles, Rihanna dan John Legend.

Berita Harian X