Jumaat, 14 Disember 2018 | 3:07pm
PENYANYI, Kaka Azraff, dikatakan bakal bernikah dengan kekasih, Adam Azriff, di Klang, malam ini. - NSTP/Salhani Ibrahim

Kaka nikah malam ini

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua minggu dirisik, penyanyi, Kaka Azraff, mengesahkan bakal bernikah dengan usahawan, Adam Azriff, di Klang, Selangor, jam 8.30 malam ini.

Anak saudara kepada ratu rock negara, Ella, itu memilih untuk mengadakan acara berkenaan di kediaman ibu saudaranya dengan hanya dihadiri anggota keluarga terdekat.

“Ya...! Terima atas sokongan dan kasih sayang. Saya sangat menghargainya,” katanya ringkas kepada BH Online.

Kenalan keluarga pula memaklumkan, mereka memang tidak mengundang ramai tetamu atau pihak media pada majlis pernikahan kerana ia diadakan secara sederhana dan lebih bersifat intim.

“Majlis pada malam ini tentu saja sangat istimewa dan Kaka mahu ia dikongsi bersama insan tersayang, iaitu seluruh keluarga terdekatnya.

“Jadi, dia sengaja memilih merealisasikan hari bahagianya di kampung halamannya di Klang, manakala jemputan hanya membabitkan sanak saudara.

“Namun, pasangan mempelai akan mengundang kenalan dan rakan media pada majlis resepsi yang akan diadakan kira-kira seminggu saja lagi,” katanya.

Baru-baru ini, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 29, mengesahkan gambar sarung cincin yang tersebar di laman sosial adalah majlis merisik, bukan bertunang seperti disangka ramai.

Begitupun, penyanyi terbabit hanya menyebut berkenaan acara yang berlangsung pada 27 November lalu, tanpa menyatakan tarikh majlis pernikahan.

Sementara itu, detik menjelang pernikahannya dapat dihidu ramai apabila dia memuat naik status dan gambar di Instagram serta Insta Story yang menggambarkan majlis istimewa itu bakal berlangsung.

“Saya akan senyum seperti ini esok (hari ini),” tulisnya. Gambar yang dimuat naik disertakan bersama tanda pagar #grateful #syukur #family #love.

Selain gambar ketika kecil, foto menerusi Insta Story pula menunjukkan Kaka sedang berinai, manakala bakal suaminya seperti membalas ucapan dengan melayangkan kata-kata manis di laman sosial sama.

Lebih mengesahkan lagi perkara berkenaan apabila perkongsian berkenaan menerima banyak ucapan tahniah daripada rakan artis dan peminat. Mereka mendoakan kebahagiaannya bersama kekasih yang dikenali sejak setahun lalu itu.

Pada masa sama, Ella menerusi Instagramnya memuat naik gambar yang seolah-olah memberi bayangan kegembiraannya menanti detik bahagia anak saudaranya itu.

“Tak sabar nak tunggu malam ini,” tulis penghibur tersohor itu dengan ringkas tetapi penuh bererti.

Difahamkan, majlis persandingan pasangan mempelai terbabit bakal berlangsung di sebuah dewan di Damansara pada 22 Disember ini.

Berita Harian X