Ahad, 16 Disember 2018 | 11:36am
FIZZ dan Almy menimang anak perempuan ketiga, malam tadi. - Foto IG Fizz Fairuz

Anak perempuan ketiga hadiah 'kemenangan' Fizz Fairuz

KUALA LUMPUR: Meskipun hasrat melihat Skuad Harimau menjulang kejayaan pada Piala AGFF 2018 tidak kesampaian,

Datuk Fizz Fairuz tetap meraih ‘kemenangan’ apabila isterinya selamat melahirkan anak ketiga, malam tadi.

Fizz berkata, ketika rakyat Malaysia berdebar menanti keputusan perlawanan bola sepak antara skuad negara dan Vietnam, debarannya berganda apabila isterinya, Almy Nadia sedang bertarung nyawa melahirkan zuriat mereka.

“Serba tidak kena jadinya, dalam debaran menanti keputusan Piala AFF 2018, isteri pula sedang menanti saat untuk melahirkan anak kami.

“Syukur, saya ibarat ‘menang’ besar malam tadi apabila isteri selamat melahirkan anak perempuan ketiga kami,” katanya yang turut berkongsi berita gembira itu di laman Instagram.

Pelakon Nur Kasih itu berkata, anak ketiganya dilahirkan kira kira jam 11.30 malam tadi secara normal di sebuah hospital swasta di Setapak.

“Berat bayi 3.31 kilogram. Rezeki kami dapat anak perempuan lagi, meskipun menanti detik kelahirannya cukup mendebarkan.

“Bayi kami pada mulanya songsang dan doktor sudah memaklumkan, jika kedudukannya tidak beralih, mungkin Almy terpaksa menjalani pembedahan.

“Alhamdulillah, doa kami semua dimakbulkan apabila urusan melahirkan bayi ini dipermudahkan. Almy begitu lega kerana tidak perlu menjalani pembedahan,” katanya.

Fizz dan Almy yang mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Nur Afrina Arianna, 3, dan Nur Afirna Aurora, 2, serta anak angkat, Nur Afrina Darwisya, 9.

Berita Harian X