Ahad, 16 Disember 2018 | 4:12pm
AIMAN dan Zahirah tidak lagi berahsia hubungan mesra mereka. Foto Zunnur Al Shafiq

Kami jujur dengan hubungan ini - Aiman Hakim

KUALA LUMPUR: “Setiap apa yang kita lakukan perlu jujur dan saya ikhlas dengan apa yang saya buat.

“Jika ditanya mengapa saya memuat naik gambar kami berdua di Instagram sebelum ini, ia kerana hubungan saya dan Zahirah (MacWilson) jujur,” kata pelakon, Aiman Hakim Ridza.

Ditemui pada majlis resepsi pelakon, Sasqia Dahuri dan Ashraff Khan, petang tadi, Aiman bagaimanapun, mengelak apabila ditanya bila serta bagaimana hubungan mereka mula terjalin.

“Nantilah kami cerita,” kata Aiman ringkas, sebelum meminta diri atas alasan mahu menghantar Zahirah ke lapangan terbang.

Sementara itu, Zahirah pula ketika ditanya mengenai pelakon tinggi lampai itu menyifatkan Aiman sebagai jejaka terbaik yang ditemuinya.

AIMAN dan Zahirah hadir bersama pada majlis persandingan pelakon Sasqia Dahuri. Foto NSTP

“Kami masing-masing menemui yang terbaik. Seperti Aiman, saya juga jujur dalam hubungan ini,” ulas Zahirah ringkas.

Episod percintaan pasangan ini mula dihidu apabila masing-masing berkongsi gambar yang sama di laman sosial.

Aiman terlebih dahulu memuat naik foto mereka berdua bersama catatan yang seolah-olah memberi bayangan antara dia dan Zahiran sedang menjalin hubungan mesra.

Beberapa jam selepas itu, Zahirah yang popular menerusi drama Jangan Benci Cintaku pula memuat naik foto yang sama dengan catatan lebih ringkas iaitu: "Kini hingga selamanya, insya-Allah”.

Pasangan itu juga tidak lagi menyembunyikan kemesraan mereka apabila mula tampil berdua di khalayak seperti yang sempat dirakamkan jurugambar ketika menghadiri majlis resepsi Sasqia.

Berita Harian X