Ahad, 16 Disember 2018 | 6:32pm
SASQIA dan Asyraff selamat diijabkabulkan di ibu kota, malam tadi. - Foto NSTP

Sikap ambil berat Sasqia tawan hati Asyraff

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pelakon Sasqia Dahuri yang sah menjadi isteri

ahli perniagaan hartanah dari Singapura, Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan, malam tadi memaklumkan, hasrat mereka berbulan madu di London terpaksa ditunda.

Ini kerana Sasqia atau nama sebenarnya, Nurlisasqia Ahmad Dahuri, 33, perlu memberikan komitmen terhadap promosi filem Misteri Delaila, bulan depan.

“Sepatutnya kami ke London untuk berbulan madu, sekali gus meraikan hari ulang tahun suami yang ke-28 pada 21 Januari depan.

“Namun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan kerana kerja harus diutamakan. Lagipun, saya agak teruja untuk mempromosikan arahan Syafiq Yusof yang turut dibintangi Zul Arifin, Elizabeth Tan, Datuk Rosyam Nor dan ramai lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis resepsi di sini, petang tadi.

Pelakon Lara Aishah itu berkata, buat sementara waktu, dia dan suami memilih untuk bercuti di Singapura, sambil mengeratkan hubungan dengan keluarga mentuanya.

Menyorot detik perkenalan mereka, Sasqia berkata, dia dan suaminya bertemu pada sebuah acara bersama peminat di Singapura yang turut disertai ibu mentuanya.

“Hubungan kami mulai serius pada September, tahun lalu, seterusnya dia melamar pada November lalu dengan memberikan 99 kuntuman mawar merah dan cincin.

“Disember pula, keluarganya datang merisik, seterusnya kami bertunang pada 21 Januari lalu, sempena hari ulang tahun kelahiran suami yang ke-27,” katanya.

Sementara itu, Asyraff pula mengakui, kehadiran Sasqia banyak mengubah dirinya mengenai hubungan dengan keluarga.

“Dia jenis yang mengambil berat, bukan hanya saya, tetapi juga keluarga.

Selama ini, hidup saya hanya fokus kepada kerja semata-mata.

“Selepas ini, saya perlu membahagikan masa bersama keluarga, terutama isteri,” katanya.

Majlis sebelah pengantin lelaki akan berlangsung pada 29 Disember ini.

Berita Harian X