Khamis, 20 Disember 2018 | 10:17am
Gambar kiri; pelakon, Erwin Dawson dan Julia Farhana Marin. - Foto Halimaton Sadiah Sulaiman dan Eizairi Shamsudin

Episod hitam perkuat hubungan kami - Erwin Dawson

KUALA LUMPUR: Pelakon, Erwin Dawson, 29, mengakui episod hitam yang hampir memusnahkan hubungan cintanya bersama aktres, Julia Farhana Marin, mempunyai hikmah tersendiri buat mereka.

Kata bintang filem Pulang itu, kisah kelam yang terjadi membuatkan kedua-duanya kini bersifat lebih terbuka terhadap diri masing-masing, termasuk dalam soal perasaan.

“Harapan saya sekarang adalah untuk melihat kami terus memulihkan hubungan. Kami memang ada berjumpa, meluahkan rasa dan berbicara dari hati ke hati. Episod hitam yang berlaku antara kami menjadikan masing-masing lebih terbuka. Begitu juga dalam soal emosi.

“Memang ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Ia nyata lebih menguatkan hubungan kami. Saya dan Julia kini lebih memahami dan menghormati antara satu sama lain. Alhamdulillah, segala-gala berubah ke arah lebih baik,” kata Erwin kepada BH Online ketika diminta mengulas kenyataan kekasihnya yang memberi peluang kedua untuknya kembali menjalinkan cinta.

Penghujung November lalu, pelakon dan pengacara kelahiran Singapura itu membuat kejutan apabila mengumumkan perpisahannya dengan pelakon drama Salon terbabit.

Bagaimanapun, dalam kenyataan kepada sisipan B*POP, baru-baru ini, tanpa menyatakan punca perpisahan, Julia, 24, mendedahkan dia kembali bersama Erwin apabila jejaka berkenaan menunjukkan kesungguhan untuk berubah dan memastikan hubungan mereka mekar semula.

Pasangan selebriti itu mula menjalinkan hubungan sejak Julai tahun lalu, sebelum bertunang tidak lama kemudian.

Mengenai perancangan untuk menyaksikan perhubungan itu memasuki fasa lebih bermakna, tahun depan, Erwin berharap niat berkenaan akan dipermudahkan dan dipercepatkan.

“Insya-Allah, hasrat di hati memang nak kahwin tahun depan. Kami akan cuba berusaha untuk mempercepatkan impian berkenaan. Bagaimanapun, saat ini masing-masing masih terikat dengan pelbagai komitmen kerja.

“Jika kami dapat berkahwin tahun depan, rasanya ia memang sesuatu yang amat indah dan menggembirakan,” katanya yang bakal muncul dengan drama, Mimpi Sabrina, pada 2019.

Sementara itu, Erwin memaklumkan dia bakal menjelajah beberapa lokasi di Eropah, mulai 5 Januari depan, bagi menjalani penggambaran program travelog.

Berita Harian X