Khamis, 20 Disember 2018 | 1:17pm
ALTIMET bakal menjayakan konsert terakhir, The Last Altimet Show, Februari depan. - Foto Aziah Azmee

Bersara menyanyi, Altimet fokus perniagaan aplikasi al-Quran

PETALING JAYA: Penyanyi rap, Altimet memberikan fokus kepada perniagaan piza dan aplikasi mengaji al-Quran selepas membuat keputusan berhenti menyanyi pada November lalu.

Komposer dan penulis lirik berusia 40 tahun itu berkata, dia berminat menceburi perniagaan aplikasi yang dikenali sebagai Recite selepas didekati seorang rakan.

"Saya pernah memberitahu, selepas berhenti menyanyi, saya mahu belajar mengaji.

“Kebetulan, tawaran untuk melabur dalam perniagaan ini datang sudah lama, cuma ketika itu, saya tiada modal.

"Alhamdulillah, aplikasi ini sudah dilancarkan sejak awal tahun ini dan memasuki pasaran Indonesia pada Julai lalu. Sambutannya sangat baik apabila turut mendapat dari United Kingdom dan Amerika Syarikat," katanya.

Altimet yang ditemui pada majlis sidang media konsert The Last Altimet Show, di sini berkata, aplikasi itu mendapat kelulusan dan dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, ia dibangunkan dengan kerjasama ustaz dan ustazah bertauliah tempatan sebagai tenaga pengajar.

Melihat sambutan awal, Altimet merancang untuk meluaskan lagi aplikasi itu dengan mengambil tenaga pengajar yang mampu bertutur pelbagai bahasa.

"Sekiranya aplikasi ini diterima di seluruh dunia, saya akan bersara sepenuhnya dengan selesa.

“Ketika ini, aplikasi itu hanya disediakan dalam bahasa Melayu. Saya ambil peluang ini bukan semata-mata kerana wang, tetapi juga untuk mengumpul ilmu dan pahala,” katanya.

Meskipun kini berada di belakang tabir, Altimet berkata, rezekinya semakin bertambah apabila turut menerima tawaran berlakon drama dan teater, serta menjadi pengacara program televisyen.

"Saya masih mempertimbangkan tawaran itu kerana penggambarannya hanya bermula awal tahun depan.

“Saya belum boleh berkongsi lanjut mengenainya memandangkan saya mahu terlebih dahulu bercuti sepanjang bulan ini," katanya yang turut tampil dengan album baharu, 0 yang memuatkan 13 lagu.

Menyentuh mengenai konsert yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 16 Februari depan, Altimet akan mempersembahkan lebih 20 lagu daripada lima albumnya.

Konsert selama dua jam itu turut menampilkan DJ Fuzz, Awi Rafael, Teh Tarik Crew, Zizi Kirana, Hazama, Aizat Amdan dan Aman Ra.

Berita Harian X