X
Jumaat, 21 Disember 2018 | 2:35pm
NABILA tidak terasa hati apabila caranya mendidik anak dipertikai netizen. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
NABILA tidak terasa hati apabila caranya mendidik anak dipertikai netizen. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Kami ada cara sendiri didik anak'

KUALA LUMPUR: Biarpun caranya membesarkan anak tunggalnya, Keisha Laila sering dipertikai netizen, pelakon, Nabila Huda tidak terkesan kerana dia lebih tahu apa yang terbaik.

Baginya, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak mereka dan sebagai ibu, dia tidak akan beri muka jika Keisha keterlaluan.

“Saya tahu ada netizen berpendapat, saya dan suami tidak tegas mendidik anak. Bagi mereka, cara kami melayaninya seperti kawan akan membuatkan anak hilang perasaan hormat.

“Apa yang kami mereka lihat di laman sosial hanya cebisan paparan sebenar. Memang Keisha suka berdrama dan bermain air mata apabila di depan kamera.

“Tetapi, apa yang dipaparkan di laman sosial tidak sama dengan di luar. Saya dan suami sebenarnya tegas mendidik Keisha,” katanya.

Nabila, 34, berkata, memandangkan Keisha masih belum mempunyai adik, dia dan suaminya mengajarnya supaya berterus terang serta tidak memendam rasa.

“Keisha sebenarnya takut dengan saya dan suami kerana kami garang. Memang kami selalu memuat naik rakaman video bergurau senda, namun apabila perlu, kami tetap bertegas.

“Saya pernah melalui fasa kesunyian kerana membesar bersendirian dan saya tidak mahu Keisha berhadapan situasi yang sama,” katanya.

Isteri kepada Mohd Izwan Johar itu berkata, biarpun tegas, dia tidak pernah menyekat Keisha daripada menyatakan pendapat dan minatnya.

Nabila juga sentiasa menyokong minat dan kecenderungan anaknya, termasuk berlakon.

“Saya dan Keisha sama-sama membintangi teater muzikal, MUD. Jangan terkejut kerana watak Keisha lebih besar berbanding saya.

“Dalam bekerja, kami mengekalkan profesionalisme. Memandangkan dia suka berdrama, lebih baik minat itu disalurkan kepada medium yang betul.

“Namun, pelajaran tetap dititikberatkan. Sekalipun sibuk, saya tetap memperuntukkan masa untuk memastikan pelajaran Keisha dijaga,” katanya.

Berita Harian X