X
Ahad, 23 Disember 2018 | 8:47pm
VIDEO dikongsi Ifan pantas menarik tontonan lebih 3.6 juta orang. Ifan dan anggota kumpulannya, Seventeen dihanyutkan air deras dalam kejadian tsunami di pantai Carita, malam tadi. Ifan turut kehilangan isteri tercinta dan berharap wanita itu selamat. - Foto IG Ifan Seventeen

Cepat pulang sayang - Ifan Seventeen

KUALA LUMPUR: ‘Hari ini kamu ulang tahun, aku mau ucapin langsung, cepet pulang sayang.’ (Hari ini ulang tahun kelahiran kamu, aku mahu mengucapkannya di hadapan kamu, cepat pulang sayang).

Rintihan Ifan, vokalis kumpulan pop rock Indonesia, Seventeen yang kehilangan isteri tersayang, Dylan Sahara dalam kejadian tsunami di pantai Carita di Wilayah Banten, malam tadi, pantas mengundang simpati pengikut di Instagram.

ENTRI dimuat naik Ifan yang antara lain berharap dapat bertemu dan mengucapkan selamat hari jadi kepada Dylan yang masih hilang dalam kejadian tsunami di pantai Carita, malam tadi. - Foto IG Ifan Seventeen

Dimuat naik kira-kira dua jam lalu, Ifan yang terselamat dalam kejadian itu meluahkan kebimbangannya terhadap Dylan yang kebetulan menyambut ulang tahun kelahirannya, hari ini.

Mengiring kapsyen, foto hitam putih yang menampakkan Ifan mengucup isterinya di lokasi berhampiran menara Eiffel Tower di Paris, Perancis, menyentuh hati peminat.

Mengikut laporan terkini laman Kompas.com kira-kira sejam lalu, Dylan masih belum ditemui.

Laporan itu juga menyebut maklumat awal yang diperoleh kononnya Dylan dijumpai di sebuah klinik di wilayah itu adalah tidak benar.

Ifan atau nama sebenarnya, Riefian Fajarsyah ketika ini mempunyai lebih 350,000 pengikut Instagram.

Kira-kira 11 jam lalu, Ifan memuat naik rakaman video yang antara lain menceritakan kejadian menimpa dirinya dan anggota band ketika membuat persembahan di pantai Carita.

Semakan BH Online mendapati video yang dimuat naik di Instagram itu ditonton lebih 3.6 juta kali dengan lebih 18,000 pengikut melayangkan komen, sehingga jam 8.30 malam tadi.

Antara lain, Ifan yang tampak keletihan dan menangis, memohon peminat berdoa agar anggota bandnya yang masih hilang termasuk isteri selamat.

Dilaporkan anggota Seventeen, Herman Sikumbang atau Herman yang bermain gitar; M Awal Purbani atau Bani (bass) dan pengurus konsert, Oki Wijaya terkorban dalam kejadian itu.

Ketika ini, pemain dram, Andi dan Dylan masih belum ditemui.

Ditubuhkan sejak 1999, Seventeen sudah merakamkan beberapa album seperti Bintang Terpilih yang dilancarkan pada 1999; Sweet Seventeen (2005); Lelaki Hebat (2008); Dunia Yang Indah (2011); Sang Juara (2013) dan Pantang Mundur (2016).

Berita Harian X