Rabu, 26 Disember 2018 | 4:41pm
Luqman rela digelar 'poyo' asalkan syarat ibu yang mahu dirinya menjaga batasan dan berdakwah sambil menyanyi dijaga. - Ihsan IG Luqman Faiz
Luqman rela digelar 'poyo' asalkan syarat ibu yang mahu dirinya menjaga batasan dan berdakwah sambil menyanyi dijaga. - Ihsan IG Luqman Faiz

Biar poyo asal jaga prinsip - Luqman Faiz

KUALA LUMPUR: Keputusannya berhenti belajar dan menjadi penyanyi pernah dibantah ibu.

Dengan latar belakang keluarga yang mementingkan akademik, ditambah pula status ibu yang juga guru agama, tentunya amat sukar untuk wanita kesayangannya itu merestui pilihan si anak.

Justeru, apabila akhirnya dia mendapat keizinan bersyarat untuk membabitkan diri dalam bidang muzik, bakat baharu yang semakin popular dengan lagu Kepuraanmu, Luqman Faiz, tidak akan sesekali mensesiakan kepercayaan diberikan kepadanya.

Bagi menghargai restu yang diberi, Luqman berkata, dia akur dengan syarat yang diletakkan ibunya.

“Sebelum ini, saya adalah pelajar jurusan ukur bangunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Bandar Sri Manjung, Perak. Bagaimanapun, berikutan kesukaran saya untuk memberikan fokus kepada dua bidang, saya memutuskan untuk berhenti belajar. Berhari-hari ibu menangis apabila mendapat tahu saya mahu berhenti belajar semata-mata kerana ingin menyanyi.

“Akur dengan kehendak saya, ibu akhirnya mengizinkan, namun ada syarat yang perlu saya patuhi.

“Selain menjaga solat, dia meminta saya supaya turut menebarkan dakwah selepas menghiburkan orang ramai. Dalam bergembira, katanya, saya perlu juga mengingatkan mereka dengan perkara yang baik... Jangan sampai melalaikan,” katanya BH Online.

Bagi remaja berusia 18 tahun ini, walaupun nampak berat, namun syarat diberikan orang tuanya itu masih boleh ditunaikan kerana dia diasuh untuk menjaga batasan diri sejak kecil lagi.

Penyanyi, Luqman Faiz. - NSTP/Aziah Azmee
Penyanyi, Luqman Faiz. - NSTP/Aziah Azmee

“Saya sedar, dunia hiburan memang besar cabarannya. Bagi menjauhkan diri daripada fitnah, saya mengelak untuk bersentuhan dengan wanita bukan mahram. Kalau bergambar dengan peminat perempuan pula, saya akan memastikan tangan saya diletakkan di belakang badan.

“Mungkin apa yang saya katakan ini bakal dikecam netizen kerana menganggap saya ,‘poyo’ tetapi memang itulah prinsip saya. Kena yakin terhadap apa yang kita lakukan dan jangan terkesan dengan kata-kata negatif dilemparkan.

“Bagi saya, komen negatif bukanlah kerana mereka benci, tetapi lebih kepada membantu kita untuk menjadi insan lebih baik,” katanya.

Sebelum ada yang menghakimi tindakannya berhenti belajar semata-mata untuk menjadi penyanyi, Luqman berkata, keputusan berkenaan dibuat bukan semata-mata disebabkan minat ataupun mahu mengejar glamor, tetapi atas rasa tanggungjawabnya sebagai anak.

“Saya adalah anak kedua daripada tiga beradik. Bapa saya pula sudah meninggal dunia. Keputusan ini dibuat kerana saya ingin membantu keluarga. Saya tidak sampai hati melihat ibu bekerja seorang diri untuk menyara keluarga. Jadi, saya memilih untuk berhenti belajar dan mencari rezeki dalam dunia nyanyian.

“Bagaimanapun, menyedari pelajaran sesuatu yang amat penting, apatah lagi usia masih muda, saya ada memohon untuk menyambung pengajian di UiTM dalam jurusan muzik.

“Alhamdulillah, permohonan saya berjaya. Saya akan memulakan pengajian pada tahun depan. Selain jurusan yang ada kaitan dengan kerjaya, lokasinya yang hampir dengan rumah, iaitu di Shah Alam, membuatkan saya menerima tawaran berkenaan,” cerita remaja tinggi lampai ini.

Bercerita pengalamannya bergelar penyanyi, pemilik nama lengkap Luqman Abd Halim Faiz ini mendedahkan, dia pernah berhasrat untuk mengundurkan diri daripada bidang seni gara-gara kecewa apabila lagunya tidak mendapat perhatian ramai.

“Ketika mula-mula video lagu ini ditayangkan di YouTube, saya pernah meluahkan hasrat kepada syarikat rakaman untuk berhenti menyanyi kerana jumlah tontonan kurang daripada 100,000 kali.

“Apabila dikenang kembali, memang lucu juga rasanya. Namun, apabila lagu ini semakin popular, saya tarik balik hasrat untuk berhenti menyanyi,” katanya sambil ketawa.

Sejak ditayangkan kira-kira empat bulan lalu, video muzik Kepuraanmu sehingga kini meraih tontonan sebanyak 9.3 juta kali.

Sebagai penyanyi yang masih hijau, Luqman turut berkongsi cerita lucu mengenai pengalamannya merakamkan lagu ciptaan Sirkhan, Rinkarnaen dan Sang Hitam itu.

“Kali pertama memasuki studio untuk merakamkan lagu terbabit, saya jadi terlalu gugup sehingga sukar untuk menyanyi. Melodinya tersasar jauh. Hanya selepas hari ketiga barulah saya dapat menyesuaikan diri. Lagu ini sempurna sepenuhnya selepas tujuh kali rakaman dilakukan.

“Entah kenapa, setiap kali hendak masuk ke studio atau perlu menyanyi di studio stesen TV, saya akan jadi gementar, sekali gus membuatkan nyanyian saya tidak sedap. Begitupun, jika saya menyanyi ‘live’ di tempat terbuka, okey pula,” kata artis naungan Aries Music Sdn Bhd ini.

Berita Harian X