Jumaat, 28 Disember 2018 | 2:42pm
EZZATY dan Azwan mahu Harum Dalia mendapat kasih sayang secukupnya sebelum dikurniakan adik. - NSTP/Aziah Azmee

'Tak 'jual' anak untuk raih populariti'

KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon, Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah menegaskan, mereka tidak pernah berhasrat meraih populariti apabila membuka akaun media sosial khusus untuk anak sulung, Harum Dalia.

Ezzaty, 28 sebaliknya berkata, dia dan suaminya berbuat demikian hanya untuk menyimpan semua kenangan ketika membesarkan Harum.

“Tidak dinafikan, kami menerima tajaan pelbagai produk barangan untuk bayi. Kami anggap ia sebagai rezeki anak dan sedikit sebanyak, tajaan itu membantu meringankan perbelanjaan.

“Kami tidak pernah terlintas ‘menjual’ anak untuk kepentingan peribadi. Alhamdulillah, rezeki masih menyebelahi meskipun, nama kami tidak sehebat pelakon popular lain,” katanya.

Ditemui ketika majlis sambutan ulang tahun pertama Harum, baru-baru ini, Ezzaty berkata, dia dan suaminya juga sepakat menangguhkan perancangan untuk menambah zuriat.

Biarpun sudah bersedia untuk kembali hamil, Ezzaty berkata, dia sanggup mengetepikan seketika keinginan itu kerana Harum masih memerlukan perhatian rapi.

“Memang jika diikutkan hati, saya teringin untuk segera menambah zuriat. Tetapi, memandangkan Harum masih menyusu badan, saya dan suami sepakat merancang dalam hal ini.

“Bimbang pula dia tidak dapat merasai kasih sayang sepenuhnya memandangkan saya dan suami membesarkan anak tanpa pembantu rumah.

“Selepas berbincang, suami menyarankan supaya tangguhkan dulu keinginan itu. Lagipun, tiada apa yang perlu dikejar kerana saya percaya kepada rezeki selagi kita berusaha,” katanya.

Pelakon filem Kau Takdirku dan Anak Mami Nasi Kandaq itu berkata, dia bersyukur dikurniakan suami yang bertanggungjawab.

Azwan katanya, tidak pernah merungut jika terpaksa bangun malam untuk menukar lampin bagi memastikan keselesaan anak mereka.

“Saya bersyukur sangat kerana Azwan ringan tulang. Dia tidak pernah berkira atau merungut jika terpaksa bangun malam apabila Harum merengek dan meminta ditukar lampin,” katanya.

Azwan yang berada di sisi isterinya mengakui, anak adalah penyeri yang membawa rezeki dalam rumah tangga.

Namun, sebagai bapa, dia realistik kerana mahu memberikan yang terbaik kepada zuriat mereka.

“Kita harus menilai kemampuan kerana anak adalah amanah. Bimbang pula nanti kebajikan anak terabai apabila terlalu sibuk memberi tumpuan kepada banyak perkara.

“Biarlah kami memberi fokus kepada Harum terlebih dahulu. Kami mahu dia membesar dengan penuh kasih sayang.

“Insya-Allah, jika ada rezeki, pasti nanti kami mahu menambah zuriat lagi,” katanya.

Berita Harian X